AGENDA

Sultan titah jemaah haji laksana ibadah dengan sempurna, peroleh haji mabrur

28 Apr 2024, 7:22 AM
Sultan titah jemaah haji laksana ibadah dengan sempurna, peroleh haji mabrur

SHAH ALAM, 28 APRIL: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor berkenan mencemar duli menyempurnakan perasmian Kursus Perdana Haji Peringkat Negeri Selangor, hari ini.

Ketibaan Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj ke Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini diiringi DYMM Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Hajah Norashikin.

Sultan Sharafuddin bertitah kepada jemaah memanfaatkan peluang dengan memasang niat melaksana ibadah dengan sempurna dan mendapat haji mabrur.

"Haji adalah satu perjalanan yang memerlukan kekuatan fizikal, emosi dan ilmu pengetahuan. Sepanjang berada di tanah suci, bersihkan niat dan gunakan sepenuh masa untuk amal ibadah.

"Beta juga disembah maklum bahawa bilangan pendeposit di Tabung Haji bagi negeri Selangor adalah 1.81 juta dengan jumlah simpanan RM18.797 bilion.

"Beta turut dimaklum bahawa bilangan jemaah haji Selangor pada tahun ini adalah 8,061 orang. Beta mengucapkan tahniah kepada semua jemaah yang terpilih menjadi tetamu Allah," titah baginda.

Sultan Sharafuddin turut bertitah umat Islam harus bersyukur kerana adanya perbadanan seperti Lembaga Tabung Haji yang menjaga kebajikan jemaah haji di negara ini.

"Justeru, gunakanlah kemudahan yang ada untuk mempermudah urusan mengerjakan haji mahupun umrah," titah baginda.

Baginda pada masa sama menitahkan Kerajaan Negeri menaja 36 rakyat daripada keluarga kurang berkemampuan di Selangor yang sangat berhasrat menunaikan haji pada tahun ini.

"Kerajaan Negeri akan membelanjakan RM1.2 juta untuk program tersebut. Sebagai ketua Agama Islam di Selangor, Beta tetap berusaha meningkatkan syiar Islam di negeri ini.

"Beta akan berpegang teguh dengan moto Istana Selangor iaitu "Pertahan Dan Setia Kepada Agama Islam, Berkhidmat Kepada Rakyat Dan Negara," titah baginda.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619