AGENDA

Calon, ejen kempen perlu fahami undang-undang rasuah, akta kesalahan pilihan raya

25 Apr 2024, 11:30 AM
Calon, ejen kempen perlu fahami undang-undang rasuah, akta kesalahan pilihan raya

GUA MUSANG, 25 APRIL: Calon yang bertanding dan ejen yang akan terlibat berkempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu, diminta memahami undang-undang rasuah dan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki.

Beliau berkata perkara itu bagi memastikan perjalanan PRK itu berlangsung lancar, tanpa ada kes salah guna kuasa dan rasuah.

“Oleh itu, mereka (calon yang akan bertanding) perlu memahami undang-undang dan akta berkenaan, agar proses berkempen dijalankan dengan tertib.

“Selain itu, ia untuk memastikan perjalanan sesuatu calon yang akan bertanding memperoleh kemenangan dengan telus, tanpa dipengaruhi mana-mana unsur rasuah atau salah guna kuasa,” katanya selepas merasmikan pejabat SPRM cawangan Gua Musang yang baharu di Bangunan Persekutuan Gua Musang, di sini, hari ini.

Berikutan itu, SPRM juga akan membuka bilik gerakan negeri dan juga di bilik gerakan di ibu pejabat SPRM susulan PRK DUN Kuala Kubu Baharu.

“Bilik gerakan berkenaan antaranya akan memantau perjalanan PRK bagi melihat isu rasuah atau salah guna kuasa yang berlaku sepanjang PRK itu berlangsung.

“Selain itu, kami juga mengarahkan pegawai SPRM yang terlibat membuat persiapan PRK berkenaan,” katanya.

Azam berkata masyarakat juga dialu-alukan membuat aduan rasuah atau salah guna kuasa, sekiranya berlaku di sepanjang PRK itu kepada bilik gerakan SPRM yang ditubuhkan.

Beliau berkata masyarakat boleh hadir terus ke bilik gerakan, hubungi SPRM atau menghantar e-mel untuk membuat aduan.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada 4 April, menetapkan hari pengundian PRK DUN Kuala Kubu Baharu, Selangor pada 11 Mei ini.

Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Ghani Salleh berkata tarikh penamaan calon dan pengundian awal PRK berkenaan, masing-masing ditetapkan pada 27 April (Sabtu) dan 7 Mei (Selasa).

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619