AGENDA

Pukul warga emas, pemilik dan pembantu rumah kebajikan ditahan polis

25 Apr 2024, 9:14 AM
Pukul warga emas, pemilik dan pembantu rumah kebajikan ditahan polis

KULIM, 25 APRIL: Polis menahan pemilik dan pembantu sebuah rumah kebajikan di Taman Desa Aman dekat sini bagi membantu siasatan berhubung kejadian seorang penghuni warga emas dipukul, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Kulim Supt Mohd Azizul Mohd Khairi berkata pihaknya menerima laporan bahawa penghuni rumah kebajikan terbabit iaitu seorang lelaki tempatan berusia 70 tahun dipukul menggunakan kayu pada 3.50 petang semalam.

“Terdapat empat rakaman video yang telah tular di media sosial, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim telah menjalankan siasatan dengan menahan seorang lelaki berusia 44 tahun yang merupakan pemilik rumah kebajikan berkenaan.

“Turut ditahan bagi membantu siasatan ialah seorang perempuan tempatan berusia 36 tahun yang bekerja sebagai pembantu di situ,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata siasatan mendapati punca kejadian adalah disebabkan mangsa yang nyanyuk dikatakan sering mendatangkan masalah.

“Siasatan masih dijalankan bagi mengesan sekiranya masih ada mangsa lain yang dipukul di rumah kebajikan terbabit...kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan,” katanya.

Mohd Azizul menasihati orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian itu kerana siasatan masih dijalankan.

Mereka yang mempunyai maklumat berkaitan turut diminta untuk menyalurkan maklumat itu kepada pihak polis.

Terdahulu, tular video berdurasi hampir satu minit memaparkan seorang wanita memukul seorang lelaki menggunakan kayu dipercayai berlaku di sebuah pusat jagaan warga emas di Taman Desa Aman, dekat sini.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619