AGENDA

Bantuan awal RM10,000 disalur kepada keluarga mangsa nahas helikopter

24 Apr 2024, 3:29 PM
Bantuan awal RM10,000 disalur kepada keluarga mangsa nahas helikopter

KUALA LUMPUR, 24 APRIL: Kerajaan bersetuju menyalurkan bantuan awal RM10,000 kepada setiap keluarga mangsa nahas helikopter Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang mengorbankan 10 nyawa semalam.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata keputusan yang dibuat dalam mesyuarat Jemaah Menteri hari ini, bertujuan meringankan beban keluarga terlibat.

"Kementerian Pertahanan juga menubuhkan Tabung Khas bagi memudahkan orang ramai untuk turut menghulurkan sumbangan kewangan kepada keluarga mangsa," katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

Mohamed Khaled berkata segala kos perjalanan terakhir mangsa yang meliputi penerbangan ihsan dan pengurusan jenazah ditanggung sepenuhnya oleh Angkatan Tentera Malaysia.

Beliau berkata Lembaga Siasatan yang ditubuhkan juga telah diarahkan untuk menyerahkan laporan awal dalam tempoh 14 hari bekerja, manakala laporan penuh dalam tempoh 30 hari bekerja.

Mesyuarat Jemaah Menteri, menurut beliau turut merakamkan ucapan takziah kepada waris mangsa.

"Kerajaan turut menzahirkan rasa simpati atas kehilangan 10 wira negara yang mencurah bakti sehingga akhir hayat mereka," katanya.

Dalam tragedi 9.32 pagi semalam, 10 anggota dan pegawai TLDM terdiri daripada tujuh kru Helikopter Operasi Maritim (HOM-AW139) dan tiga kru Fennec TLDM terkorban selepas helikopter dinaiki terhempas semasa menjalani raptai lintas hormat bersempena dengan sambutan Ulang Tahun TLDM ke-90 di Pangkalan TLDM Lumut.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619