AGENDA

Azizul, dua lagi pelumba basikal trek negara rasmi layak ke Olimpik Paris

23 Apr 2024, 1:25 AM
Azizul, dua lagi pelumba basikal trek negara rasmi layak ke Olimpik Paris

KUALA LUMPUR, 23 APRIL: Tiga pelumba basikal trek negara Datuk Mohd Azizulhasni Awang, Muhammad Shah Firdaus Sahrom dan Nurul Izzah Izzati Mohd Asri, secara rasmi layak ke Sukan Olimpik Paris 2024 yang akan berlangsung dari 23 Julai hingga 11 Ogos ini.

Timbalan Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) Datuk Amarjit Singh Gill berkata perkara itu disahkan selepas Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) mengeluarkan kuota berbasikal trek bagi setiap Jawatankuasa Olimpik Kebangsaan (NOC) semalam.

"Kami sangat gembira dengan komposisi pasukan trek di Paris bersama Datuk Azizul dan Shah Firdaus dalam acara keirin dan pecut, dan Nurul Izzah membuat penampilan sulungnya dalam kedua-dua acara keirin dan pecut serta acara sukan terbesar di dunia.

"Pasukan trek mempunyai perancangan terperinci yang telah ditetapkan untuk tiga bulan akan datang menjelang temasya itu, dengan latihan di Velodrom Nasional di Nilai dan selepas itu ke Eropah untuk tempoh yang singkat sebelum menyertai acara trek di Paris, yang akan diadakan dari 6 Ogos hingga 11 Ogos," katanya dalam kenyataan hari ini.

Isnin lepas, Amarjit yang juga Ahli Jawatankuasa Pengurusan UCI memaklumkan ketiga-tiga pelumba itu telah layak secara tidak rasmi ke Paris berdasarkan mata dan ranking yang dikeluarkan selepas pusingan terakhir Piala Negara-Negara UCI 2024 di Milton, Kanada.

Empat atlet berbasikal Malaysia akan bertanding pada temasya di Paris selepas Nur Aisyah Zubir sebelum ini mendapat tempat dalam berbasikal lebuh raya yang juga mencipta sejarah sebagai pelumba wanita pertama negara bersaing dalam acara itu di Olimpik.

Dengan perkembangan terbaharu itu, sembilan atlet Malaysia secara rasmi layak ke Olimpik, menyertai penerjun Bertrand Rhodict Lises, Nur Shazrin Mohd Latif daripada sukan pelayaran, Johnathan Wong (menembak), Ariana Nur Dania Mohd Zairi (memanah) dan Mohamad Aniq Kasdan (angkat berat) yang mengesahkan tempat mereka sebelum ini.

- BERNAMA

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619