AGENDA

KKM kenal pasti modus operandi penjaja makanan warga asing, perketat pemantauan

21 Apr 2024, 10:14 AM
KKM kenal pasti modus operandi penjaja makanan warga asing, perketat pemantauan

KUALA SELANGOR, 21 APRIL: Kementerian Kesihatan (KKM) telah mengenal pasti modus operandi penjaja makanan warga asing di negara ini dan akan memperketat pemantauan bagi menangani aktiviti itu.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata justeru, pasukan penguatkuasaan KKM perlu lebih bertaktikal dalam melaksanakan tindakan membanteras penjualan produk yang diragui tahap kebersihannya oleh penjaja warga asing.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidifitri Parlimen Kuala Selangor di sini hari ini ketika diminta mengulas tindakan KKM berhubung video tular mengenai aktiviti jualan makanan ala 'street food' dari negara India yang dipercayai beroperasi berhampiran Masjid Al-Bukhary di Jalan Hang Tuah, Kuala Lumpur dan ‘dikerumuni’ warga asing.

Penularan video berdurasi 23 saat itu mengundang reaksi kurang senang pengguna media sosial terhadap kelemahan sistem penguatkuasaan yang dilihat seolah-olah terlepas pandang aktiviti penjaja warga asing terbabit yang didakwa telah lama beroperasi.

Dalam perkembangan lain, Dzulkefly berkata KKM akan bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan bagi meneliti semula tatacara operasi piawai (SOP) aktiviti luar bilik darjah yang dijalankan di sekolah bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini berlaku.

Beliau berkata insiden seorang pelajar lelaki tingkatan dua yang meninggal dunia ketika menyertai aktiviti merentas desa di Negeri Sembilan pada 19 April lepas menuntut agar SOP lebih tuntas diwujudkan untuk dijadikan panduan oleh semua pihak pada masa akan datang.

- BERNAMA

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619