AGENDA

Elak bazir, semua pihak diingatkan tidak simpan stok beras dalam kuantiti besar

21 Apr 2024, 6:30 AM
Elak bazir, semua pihak diingatkan tidak simpan stok beras dalam kuantiti besar

KUALA SELANGOR, 21 APRIL: Semua pihak termasuk orang awam diingatkan untuk tidak menyimpan stok beras dalam kuantiti yang besar bagi mengelakkan berlakunya pembaziran bekalan makanan ruji itu.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata bagi stok yang disimpan bagi tujuan sumbangan dan sebagainya pula, ia perlu diagihkan segera.

"Jika ada sedekahlah (stok beras) berikan kepada mereka yang memerlukan," katanya ringkas kepada pemberita ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Kuala Selangor di sini hari ini.

Sebelum ini, tular satu rakaman memaparkan puluhan kampit beras, tepung dan sardin dibuang di tapak pelupusan sampah berdekatan laluan pintasan Rumpun Makmur, Kampung Gunung Senyum, Temerloh, Pahang.

Video itu menjadi perhatian apabila ia dimuat naik oleh beberapa pengguna media sosial di Facebook dan TikTok yang kebetulan menggunakan jalan berkenaan.

Mohamad menerusi hantaran di Facebook rasminya pada 19 April lepas berkata Kawalselia Padi dan Beras telah diarahkan untuk menyiasat kejadian itu.

Pada masa sama, Mohamad mengingatkan orang ramai supaya berpada-pada dan mengelakkan pembaziran makanan ketika musim perayaan Aidilfitri ini, susulan dapatan daripada konsesi pembersihan Alam Flora mendapati 40 peratus daripada sisa buangan adalah makanan.

"Sisa-sisa buangan makanan ketika bulan Ramadan pula boleh mencapai sehingga 12,000 tan sehari, jadi elakkanlah pembaziran dan bekalan pun tak akan berkurangan," katanya.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619