AGENDA

Kementerian teliti tambah baik SOP keselamatan lapangan terbang

16 Apr 2024, 7:08 AM
Kementerian teliti tambah baik SOP keselamatan lapangan terbang

KUALA LUMPUR, 16 APRIL: Pandangan pelbagai pihak termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN), akan diperoleh dalam meneliti penambahbaikan aspek keselamatan di lapangan terbang di seluruh negara.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata ini termasuk cadangan agar pihak lapangan terbang mengadakan pengimbas, supaya pengesanan awal dapat dilakukan terhadap orang awam yang membawa barangan terlarang seperti mercun dan senjata api.

“Langkah menambah baik aspek keselamatan ini memerlukan perbincangan lanjut antara Polis Diraja Malaysia (PDRM), Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) selaku operator atau pengendali lapangan terbang.

“Jadi saya menyerahkan kepada mereka untuk mengadakan perbincangan, sebab ini melibatkan soal operasi dan apa-apa perubahan terhadap tatacara operasi piawai (SOP) di lapangan terbang, perlulah diadakan perbincangan lebih lanjut terlebih dahulu, kemudian baharulah kementerian mengambil maklum,” katanya.

Beliau mengulas insiden tembak di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 pada Ahad, ketika ditemui media selepas Majlis Pelancaran Stesen Pengecasan EV, Evlution di RHB Centre, di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 1.30 pagi Ahad, seorang lelaki melepaskan dua das tembakan dengan satu daripadanya terkena pengawal peribadi kepada isterinya.

Kejadian berlaku ketika wanita itu sedang menunggu kepulangan jemaah umrah di balai ketibaan.

Polis setakat ini mengklasifikasikan motif kes berkaitan perihal peribadi dan suspek telah direman tujuh hari bermula hari ini, selepas ditahan di sebuah lokasi di Kota Bharu, Kelantan kira-kira pukul 3 petang semalam.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619