ad
AGENDA

Polis: Suspek kes tembak KLIA direman esok di Kota Bharu

15 Apr 2024, 12:13 PM
Polis: Suspek kes tembak KLIA direman esok di Kota Bharu

KOTA BHARU, 15 APRIL: Suspek yang melepaskan tembakan di Balai Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1, awal pagi semalam, akan direman esok di Mahkamah Kota Bharu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata ketika ini, polis sedang menyoal siasat dan mengumpul maklumat daripada suspek.

“Hari ini kita akan proses dulu (soal siasat) suspek yang kita tahan tadi dan dia berada dalam keadaan sihat.

“Setelah polis selesai kumpul semua maklumat ke atas suspek, barulah kami akan buat sidang media pada 9 pagi esok di sini (Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di perkarangan IPK Kelantan hari ini, selepas menerima taklimat berhubung kes itu.

Hari ini, Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain mengesahkan suspek terlibat dengan kejadian itu ditahan 3 petang tadi, di satu lokasi di Kota Bharu, Kelantan.

Dalam kejadian kira-kira 1.30 pagi semalam, seorang lelaki melepaskan dua das tembakan dengan satu daripadanya terkena pengawal peribadi kepada isterinya. Pengawal peribadi berkenaan sedang dirawat di sebuah hospital, dalam keadaan stabil.

Polis sebelum ini berusaha mengesan Hafizul Harawi, 38, bagi membantu siasatan kes berkenaan.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.