AGENDA

Kereta lari sekatan, polis lepas lima das tembakan amaran

15 Apr 2024, 11:29 AM
Kereta lari sekatan, polis lepas lima das tembakan amaran

BALING, 15 APRIL: Polis terpaksa melepaskan lima das tembakan amaran terhadap sebuah kereta yang dinaiki tiga lelaki dan tiga wanita dalam kejadian di Kuala Pegang, di sini pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Baling Supt Shamsudin Mamat berkata tiga wanita dan seorang lelaki ditahan sejurus selepas kereta itu terbabas di atas Jambatan Kuala Pegang di sini, manakala seorang lagi suspek ditahan 3 petang tadi di Gerik.

Beliau berkata sebelum itu Unit Kereta Peronda (MPV) dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gerik, Perak menerima maklumat daripada anggota bertugas di sekatan jalan raya di Sungai Lebey, Gerik pada 4 pagi yang memaklumkan kereta jenis Proton Perdana dalam keadaan mencurigakan dan memecut laju ketika melalui sekatan polis.

Peronda MPV Gerik yang membuat Op Kesan di kawasan sekitar mengesan kenderaan suspek di sebuah stesen minyak di Kuala Rui, Gerik, dan ketika didekati kenderaan itu terus memecut laju, menyebabkan polis mengejarnya sehingga masuk ke sempadan Baling, Kedah.

“Kenderaan dipandu suspek membahayakan nyawa pengguna jalan raya dari arah bertentangan dan bagi mengelak kenderaan suspek melanggar kenderaan lain, anggota kenderaan peronda MPV Gerik memberi amaran melalui alat perhubungan ‘spectra’ sebanyak tiga kali,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Shamsudin berkata suspek enggan memberhentikan kenderaannya sehingga menyebabkan anggota peronda melepaskan lima das tembakan amaran, dengan dua tembakan mengenai bahagian ‘bonet’ kenderaan itu.

Beliau berkata kenderaan itu bagaimanapun tetap memecut laju sebelum terbabas di Jambatan Kuala Pegang dan dua suspek dipercayai pemandu serta penumpang hadapan melarikan diri ke bawah jambatan sebelum menghilangkan diri.

Polis kemudiannya menemukan seorang lelaki dan tiga wanita dipercayai warga asing berumur 23 hingga 39 tahun tanpa dokumen pengenalan diri atau dokumen perjalanan sah.

Shamsudin berkata seorang suspek yang merupakan lelaki warga tempatan berusia 30an yang melarikan diri awalnya, kemudian ditahan di Stesen Bas Gerik, Perak 3 petang tadi, sementara seorang lagi suspek masih bebas.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619