AGENDA

Malaysia kecam Israel cedera, serang sukarelawan bantuan di Rafah

14 Apr 2024, 12:08 AM
Malaysia kecam Israel cedera, serang sukarelawan bantuan di Rafah

PUTRAJAYA, 14 APRIL: Malaysia dengan tegas mengecam sekeras-kerasnya serangan kejam Tentera Rejim Israel (IOF) pada Jumaat di Rafah, yang secara terang-terangan menyerang dan mencederakan beberapa sukarelawan dan petugas dalam konvoi penghantaran bantuan kemanusiaan, termasuk mereka yang mengendalikan bantuan dari Malaysia melalui Ops Ihsan.

Kementerian Luar Malaysia (Wisma Putra) dalam satu kenyataan pada Sabtu berkata serangan terhadap petugas bantuan kemanusiaan, sukarelawan, dan individu tidak bersenjata yang menjalankan usaha menyampaikan bantuan adalah sama sekali tidak boleh diterima.

“Tindakan kejam ini oleh Israel mencerminkan kekejaman yang melampaui sebarang pemahaman atau justifikasi. Ia tidak lagi mencukupi untuk mengutuk tindakan kezaliman ini secara berlapik,” kata Wisma Putra.

Kementerian itu berkata sudah tiba masanya bagi masyarakat antarabangsa untuk bersatu dan menuntut agar Israel menghentikan tindakan tidak berperikemanusiaan ini dan bertanggungjawab ke atas jenayah dilakukan mereka.

"Di mana Israel sebelum ini menuntut bahawa tindakan ini adalah langkah-langkah yang diperlukan untuk pertahanan diri, tindakan-tindakannya sejak Oktober tahun lepas jelas menunjukkan sebaliknya: Israel sangat jelas adalah pihak yang menyerang dan mengganas.

Di saat bantuan sangat diperlukan untuk sampai kepada rakyat Palestin, rejim Israel secara berterusan mengenakan sekatan dan halangan untuk menyeksa golongan tua, rakyat yang kesakitan, wanita dan kanak-kanak,” katanya.

Menurut Wisma Putra ini adalah kali kedua operasi Ops Ihsan terganggu, dan nyawa sukarelawan mereka terancam tanpa sebab.

“Serangan pertama berlaku pada 14 Mac 2024 yang meragut nyawa lapan orang Palestin dan mencederakan lebih daripada 20 yang lain,” katanya.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619