ad
AGENDA

Aliran trafik perlahan di lebuh raya utama takat 5 petang

13 Apr 2024, 10:35 AM
Aliran trafik perlahan di lebuh raya utama takat 5 petang

KUALA LUMPUR, 13 APRIL: Aliran trafik di beberapa lebuh raya utama dilaporkan masih bergerak perlahan setakat 5 petang ini.

Jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) memaklumkan jumlah kenderaan yang banyak di Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa Dua (LPT2) menyebabkan kesesakan lalu lintas di beberapa kawasan.

Beliau berkata di LPT2 trafik bergerak perlahan dari Bukit Besi ke Paka dan di kawasan susur keluar Plaza Tol Kuala Terengganu.

“Lebuhraya Plus dilaporkan sesak ke utara di Kulai menghala Sedenak, Bukit Gambir ke Layby Bemban, Pedas Linggi menghala Port Dickson dan Bandar Ainsdale ke Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Seremban,” katanya ketika dihubungi.

Akaun rasmi X Plus Trafik pula memaklumkan terdapat kemalangan dilaporkan berlaku di Kilometer 135.5 arah selatan dari Pagoh ke Yong Peng (U), menyebabkan aliran trafik bergerak perlahan.

Plus Trafik juga memaklumkan terdapat kesesakan selepas Plaza Tol Sungai Besi menuju Pusat Bandar.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.