AGENDA

Senarai bandar raya pintar, KL lonjak 16 anak tangga ke-73 dunia

11 Apr 2024, 2:12 PM
Senarai bandar raya pintar, KL lonjak 16 anak tangga ke-73 dunia

KUALA LUMPUR, 11 APRIL: Kuala Lumpur (KL) melonjak 16 anak tangga untuk berada di kedudukan ke-73 dalam senarai bandar raya terpintar di dunia daripada kalangan 142 bandar raya, demikian menurut Indeks Bandar Pintar (SCI) 2024 yang dikeluarkan oleh Institute for Management Development (IMD) baru-baru ini.

Tahun lepas KL berada di kedudukan ke-89.

Laporan itu mengetengahkan beberapa prestasi KL yang membanggakan, termasuk kemudahan pembelian tiket dalam talian dan kebolehcapaian penyenaraian pekerjaan dalam talian yang memudahkan untuk mencari kerja.

Laporan itu turut memuji struktur kesihatan dan keselamatan di ibu kota, seperti "mengatur temu janji perubatan dalam talian yang menambah baik akses", dan struktur mobiliti seperti "penjadualan dalam talian dan jualan tiket telah menjadikan pengangkutan awam lebih mudah untuk digunakan".

Bagaimanapun, laporan itu mendapati kesesakan lalu lintas, rasuah, pencemaran udara dan rumah mampu milik adalah antara isu paling membimbangkan di KL.

Presiden Smart City Observatory Bruno Lanvin berkata sesebuah bandar raya perlu merangka dan mengguna pakai strategi untuk bertahan dengan ujian ketidaktentuan pada masa depan.

Beliau juga berkata kepercayaan dan tadbir urus yang baik menjadi semakin penting, dan penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam reka bentuk dan pengurusan bandar dijangka meningkat.

“Walaupun ia mungkin kedengaran tidak intuitif, AI boleh membantu menginsankan bandar menjadi lebih mementingkan manusia,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di laman web IMD.

Zurich mengekalkan kedudukan teratasnya bagi edisi kelima berturut-turut laporan SCI pada 2024, diikuti Oslo, Canberra, Geneva dan Singapura

-- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619