AGENDA

Piala Thomas: Penyertaan Zii Jia dalam skuad negara diputus esok

11 Apr 2024, 9:35 AM
Piala Thomas: Penyertaan Zii Jia dalam skuad negara diputus esok

KUALA LUMPUR, 11 APRIL: Teka teki di sebalik penyertaan pemain profesional negara Lee Zii Jia, ke dalam skuad Piala Thomas 2024 di Chengdu, China, bakal diketahui esok.

Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM) Rexy Mainaky berkata pihaknya dijangka mengumumkan barisan penuh Piala Thomas 2024 itu, sehari sebelum tarikh pendaftaran pemain ditutup Sabtu ini.

“Mungkin diumum pada Jumaat,” katanya kepada Bernama hari ini.

Media sebelum ini memaklumkan pasukannya, Team LZJ, masih dalam perbincangan dengan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) berhubung kemasukannya ke skuad Piala Thomas 2024.

Pemain berusia 26 tahun itu juga berharap agar Team LZJ mampu mencapai keputusan positif dalam perbincangan bersama BAM.

Kem perseorangan lelaki negara ke Piala Thomas ketika ini berdepan situasi membimbangkan memandangkan Zii Jia belum memberikan jawapan sama ada akan bersama skuad kebangsaan ke Chengdu manakala Ng Tze Yong pula masih dalam proses pemulihan selepas menjalani pembedahan akibat kecederaan belakang dialaminya baru-baru ini.

Sekiranya kedua-dua pemain tersebut tidak berada dalam skuad Piala Thomas 2024, Malaysia boleh menaruh harapan kepada juara Masters Kuala Lumpur 2023, Leong Jun Hao dan dua pemain muda, Justin Hoh serta Eogene Ewe.

Minggu lepas, jurulatih perseorangan lelaki negara Datuk Tey Seu Bock berkata seorang lagi pemain profesional, Cheam June Wei mungkin dalam pertimbangan barisan kejurulatihan untuk menyertai skuad kebangsaan mengharungi kempen kejohanan badminton berpasukan berprestij dunia itu.

Seu Bock berkata June Wei telah menyertai latihan di ABM Bukit Kiara di sini, bermula 5 April dan akan dinilai barisan kejurulatihan sebelum memilihnya pada kejohanan dijadual berlangsung dari 27 April hingga 5 Mei ini.

Malaysia yang diletakkan selaku pilihan kelima kejohanan, diundi dalam Kumpulan D bersama jaguh Eropah dan juara edisi 2016 Denmark, Hong Kong dan Algeria.

-- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619