AGENDA

Agong seru pemimpin politik tidak ekstrem beri pandangan isu agama, kaum

9 Apr 2024, 11:04 AM
Agong seru pemimpin politik tidak ekstrem beri pandangan isu agama, kaum

KUALA LUMPUR, 9 APRIL: Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berharap pemimpin politik di negara ini, tidak ekstrem dalam memberikan pandangan berkenaan isu-isu agama dan perkauman.

Seri Paduka Baginda bertitah pemimpin daripada semua parti mesti menjadi jambatan atau penghubung antara masyarakat majmuk di Malaysia, dengan memberikan contoh perilaku yang matang.

“Saya ingin menasihati semua pihak untuk memberi tumpuan untuk mengajak rakyat ke arah perpaduan, bukannya perpecahan.

“Saya ingin melihat rakyat bersatu padu dengan harmoni,” titah Seri Paduka Baginda dalam hantaran di Facebook rasmi Sultan Ibrahim Sultan Iskandar hari ini.

Dalam hantaran itu, Sultan Ibrahim bertitah bahawa kejadian baru-baru ini sepatutnya membuka mata semua pihak daripada pelbagai lapisan masyarakat, untuk mempunyai tanggungjawab menjaga perpaduan negara.

“Perpaduan yang jitu dalam kalangan rakyat, akan menjadi pemangkin kepada kesejahteraan sejagat Malaysia. Menjelang Hari Raya yang mulia ini, bermaaf-maafanlah antara satu sama lain dan buka lembaran baharu,” titah Seri Paduka Baginda.

Sultan Ibrahim hari ini berkenan menerima mengadap pimpinan kanan Umno dan DAP di Istana Negara, yang tertumpu kepada perkembangan semasa berkaitan isu-isu sensitiviti agama dan kaum.

Pemimpin yang hadir pada sesi mengadap itu ialah Timbalan Presiden Umno Datuk Seri Mohamad Hasan, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, Timbalan Setiausaha Agung DAP Liew Chin Tong dan Ketua Pemuda Umno Dr Muhamad Akmal Saleh.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619