AGENDA

Niat kongsi rezeki, peniaga jual lemang RM7 sebatang

9 Apr 2024, 5:00 AM
Niat kongsi rezeki, peniaga jual lemang RM7 sebatang

MELAKA, 9 APRIL: Niat berkongsi rezeki terutama kepada golongan kurang berkemampuan, seorang peniaga lemang di Limbongan di sini menjual juadah popular ketika Aidilfitri itu pada harga RM7 sebatang.

Samsudin Ishak, 42, yang berniaga sejak 20 tahun lepas berkata inisiatif Lemang Rahmah pertama kali dilakukannya itu menyasarkan jualan 500 batang lemang selama tiga hari bermula semalam.

"Lemang Rahmah yang dijual ini anggaran 18 inci panjang dan berdiameter sekitar 1.5 inci, berpatutan dengan harga ditawarkan berbanding lemang biasa sehingga ada yang mencecah lebih RM20 sebatang,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Menurutnya meskipun tidak meraih keuntungan yang besar, namun dia berpuas hati dapat membantu meringankan beban kewangan pembeli.

Samsudin yang bekerja sebagai pemandu lori berkata dia akan berniaga lemang bermula pertengahan Ramadan hingga akhir Syawal dengan kira-kira 8,000 batang lemang dijual setiap tahun.

Katanya dia juga menerima tempahan lemang di luar musim perayaan sekiranya terdapat permintaan.

"Lemang yang saya jual akan dibuka di depan pembeli bagi memeriksa kualitinya seperti tidak keras atau tidak masak…kalau terjadi perkara itu, kita akan tukar dengan yang lain," katanya.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619