ad
AGENDA

Isteri cedera ditetak selepas minta cerai

9 Apr 2024, 3:43 AM
Isteri cedera ditetak selepas minta cerai

KUALA TERENGGANU, 9 APRIL: Seorang buruh bertindak menetak isterinya menggunakan parang dipercayai selepas mangsa meminta cerai dalam kejadian di Ketengah Jaya, Dungun, Ahad lepas.

Ketua Polis Daerah Dungun Supt Maizura Abdul Kadir berkata berlaku pertelingkahan antara lelaki berstatus penduduk tetap berusia 64 tahun terbabit dengan isterinya, warga tempatan berusia 39 tahun dalam kejadian kira-kira 10 malam itu.

“Berlaku pertelingkahan antara mereka dan mangsa ketika itu dikatakan ada meminta cerai daripada suspek.

“Berang dengan permintaan isterinya, suspek mengambil objek panjang dipercayai sebilah parang dan menetak bahagian kepala mangsa," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata mangsa dibawa ke Unit Kecemasan Hospital Dungun sebelum dirujuk ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk menerima rawatan.

Menurutnya mangsa yang bekerja sebagai tukang masak di kantin sebuah sekolah mengalami luka sepanjang sembilan sentimeter di bahagian dahi dan menerima 10 jahitan.

Maizura berkata polis kini giat mengesan lelaki terbabit dan kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.