AGENDA

Anwar, Probowo bincang hala tuju, rapat hubungan Malaysia-Indonesia

4 Apr 2024, 5:23 AM
Anwar, Probowo bincang hala tuju, rapat hubungan Malaysia-Indonesia

KUALA LUMPUR, 4 APRIL: Pertemuan dengan Presiden Terpilih Indonesia merangkap Menteri Pertahanan Prabowo Subianto hari ini antara lain membincangkan mengenai hala tuju seterusnya dalam merapatkan lagi hubungan antara Malaysia-Indonesia, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata dalam pertemuan dengan Prabowo di pejabatnya di Putrajaya, kedua-dua pemimpin menggunakan momen berkenaan untuk berkongsi pengalaman dan bertukar pendapat mengenai karier masing-masing.

“Perjalanan karier politik kami hampir sama apabila diuji dengan pelbagai cabaran sebelum dilantik, juga menjadi topik perbincangan santai selain diselang-seli dengan kisah Prabowo sewaktu melanjutkan pelajaran dan pendidikan menengah di Victoria Institution (VI) Kuala Lumpur,” katanya menerusi catatan di Facebook.

Sambil menitipkan tahniah dan selamat maju jaya kepada Prabowo yang bakal dilantik sebagai Presiden Indonesia Kelapan, Anwar juga berharap semoga hubungan persahabatan antara dua negara jiran itu terus erat serta diperkukuh demi kebaikan bersama pada masa hadapan.

Anwar berkata pertemuan dengan Prabowo merupakan sebahagian daripada rangka lawatan khas sehari Presiden Terpilih Indonesia itu ke Malaysia.

Prabowo yang diumum sebagai pemenang rasmi Pemilihan Presiden Indonesia bagi penggal 2024-2029 pada 20 Mac lepas tiba di negara ini semalam.

Selain mengadakan pertemuan dengan Anwar, Prabowo juga menghadiri mesyuarat tertutup bersama Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin di sini.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619