AGENDA

Kerajaan lulus dana tambahan RM14 juta projek ICQS Wang Kelian di Perlis

1 Apr 2024, 2:35 PM
Kerajaan lulus dana tambahan RM14 juta projek ICQS Wang Kelian di Perlis

KUALA LUMPUR, 1 APRIL: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim meluluskan peruntukan tambahan sebanyak RM14 juta bagi Projek Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Wang Kelian di Perlis.

Menerusi hantaran dalam laman Facebook hari ini, Anwar berkata keputusan itu dibuat selepas mengambil kira keperluan yang mendesak untuk menyelesaikan segera isu kesesakan di pintu masuk negara.

Permohonan peruntukan tambahan itu dibangkitkan oleh Menteri Besar Perlis Mohd Shukri Ramli semasa Perdana Menteri mempengerusikan Taklimat Pembangunan Negeri Perlis bersempena dengan lawatan ringkasnya ke negeri itu hari ini.

"Menteri Besar Perlis turut membangkitkan permohonan peruntukan tambahan bagi Projek ICQS Wang Kelian, mesin pengimbas di Pelabuhan Darat Perlis serta peruntukan mengurus bagi kerajaan Perlis," kata Perdana Menteri.

Turut hadir pada mesyuarat itu ialah Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Mufti Perlis dan ketua jabatan serta agensi kerajaan pusat dan negeri yang terlibat.

Menurut Anwar, perbincangan selama satu jam menyentuh pelbagai isu dan keperluan pembangunan di Perlis antaranya projek Dataran Kuala Perlis, Pasar Pelancongan Kuala Perlis, pembinaan jalan bagi menghubungkan Jalan Pesisiran Pantai (R152) ke Kuala Sanglang serta penyelenggaraan gerai dan kios di seluruh negeri itu.

"Saya juga singgung potensi negeri Perlis sebagai destinasi pelancongan dan bagaimana negara kita berbelanja tinggi untuk menanggung kos subsidi harga barang asas, namun harga makanan di negara kita masih lebih mahal berbanding di destinasi pelancongan negara jiran," katanya.

Anwar berkata beliau percaya jika ada usaha untuk mengatasi masalah berkenaan, lebih ramai pelancong akan datang ke destinasi pelancongan di Perlis.

-- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619