AGENDA

LHDN sekat perjalanan 182,666 pembayar cukai ke luar negara

1 Apr 2024, 4:59 AM
LHDN sekat perjalanan 182,666 pembayar cukai ke luar negara

KUALA LUMPUR, 1 APRIL: Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) telah melaksanakan sekatan perjalanan ke atas 182,666 individu yang mempunyai tunggakan cukai setakat 29 Februari lepas.

Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying berkata daripada keseluruhan jumlah itu, 171,571 kes melibatkan individu yang mempunyai tunggakan cukai pendapatan, manakala 11,095 kes membabitkan individu yang mempunyai tunggakan Cukai Keuntungan Harta Tanah (CKHT).

Beliau berkata secara umumnya sebelum sebarang tindakan sekatan perjalanan dikuatkuasakan, pihak LHDN akan melakukan tindakan awal terhadap pembayar cukai dengan menghantar beberapa surat peringatan mengenai tuntutan bayaran tunggakan cukai dan menghantar emel pemakluman tunggakan cukai serta menghubungi pembayar cukai terbabit.

"Kegagalan menyelesaikan bayaran tunggakan cukai mengikut tempoh ditetapkan akan mengakibatkan pembayar cukai berdepan dengan tindakan sekatan perjalanan ke luar negara," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Senator Datin Ros Suryati Alang yang bertanya mengenai statistik bilangan kes sekatan perjalanan dilaksanakan oleh LHDN kepada individu yang tidak menjelaskan pembayaran cukai.

Pembayar cukai boleh menyemak status tunggakan cukai melalui portal MyTax, selain membuat semakan sekatan perjalanan di laman web Jabatan Imigresen Malaysia sekiranya terdapat sekatan yang dikuatkuasakan oleh agensi-agensi lain.

Lim berkata sekiranya pembayar cukai disekat semasa di lapangan terbang, pegawai imigresen akan merujuk pembayar cukai kepada pegawai perhubungan awam LHDN untuk mengambil tindakan selanjutnya bagi tujuan pelepasan ke luar negara.

"Berdasarkan hasil rundingan antara pembayar cukai dan pegawai perhubungan awam LHDN, pelepasan akan diberikan dengan segera selepas kaedah penyelesaian tunggakan cukai dipersetujui, sama ada pembayaran sebahagian atau sepenuhnya," katanya.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619