AGENDA

Penjawat awam dapat bantuan khas RM500, pesara RM250 Jumaat ini

1 Apr 2024, 1:27 AM
Penjawat awam dapat bantuan khas RM500, pesara RM250 Jumaat ini

PUTRAJAYA, 1 APRIL: Kerajaan bersetuju menyalurkan Bantuan Khas Kewangan (BKK) Aidilfitri RM500 kepada penjawat awam gred 56 dan ke bawah termasuk lantikan kontrak yang akan dibayar Jumaat ini, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata turut mendapat bantuan khas itu adalah pesara kerajaan, termasuk veteran berpencen dan tidak berpencen sebanyak RM250.

"Insya-Allah saya telah maklumkan kepada Perbendaharaan supaya BKK Aidilfitri disalurkan mulai Jumaat ini, 5 April 2024," katanya dalam majlis perhimpunan bulanan bersama warga Jabatan Perdana Menteri (JPM), di sini hari ini.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata bantuan khas itu mengambil kira peningkatan kos sara hidup dan perbelanjaan persekolahan, walaupun bayaran Insentif Awal RM2,000 telah disalurkan pada 23 Februari lalu.

Beliau berkata BKK itu juga mengambil kira keluhan penjawat awam yang ditemui di bazar Ramadan ketika lawatan kerja beliau ke Pahang dan Sarawak baru-baru ini.

Anwar berkata sekiranya politik stabil, dasar ekonomi jelas dan pelaburan domestik dan asing bertambah, kerajaan boleh mempertimbangkan penyaluran bantuan lain kepada rakyat.

Turut bersama dalam perhimpunan bulanan itu adalah Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Datuk Seri Fadillah Yusof; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa; Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619