AGENDA

Polis kenal pasti identiti lima sekeluarga dihanyut arus deras ketika menjala

31 Mac 2024, 3:26 PM
Polis kenal pasti identiti lima sekeluarga dihanyut arus deras ketika menjala

SERDANG, 31 MAC: Lima sekeluarga yang dihanyutkan arus deras ketika menjala ikan di saliran longkang monsun berhampiran sebatang anak sungai di Jalan KP 4/9 Kota Perdana, Seri Kembangan petang tadi dikenal pasti sebagai warga Indonesia.

Ketua Polis Daerah Serdang ACP A.A Anbalagan berkata mangsa yang ditemukan lemas ialah anak sulung pasangan itu, Mohd Diham Ahmad Suriadi, 10, manakala yang masih hilang ialah ibunya yang dikenali sebagai Juliana, 38, dan adik perempuan bongsunya, Riska Amelia, empat tahun.

Beliau berkata mangsa yang selamat dikenali sebagai Ahmad Suriadi (bapa), 40, dan anaknya, Mohd Alif, sembilan.

“Menurut Ahmad Suriadi, ketika kejadian mereka sekeluarga pergi ke kawasan berkenaan untuk menjala ikan bagi mendapatkan pendapatan tambahan namun pada kira-kira 5 petang, datang air deras dari saliran monsun berhampiran menyebabkan mereka dihanyutkan hingga ke anak sungai yang berkedalaman 1.2 meter.

“Bagaimanapun, Ahmad Suriadi dapat menyelamatkan diri sebelum menghubungi pihak berkuasa untuk mendapatkan pertolongan manakala anak keduanya, Mohd Alif, sempat menyelamatkan diri dengan naik ke sebelah kanan longkang berhampiran sebelum ditemukan oleh orang awam pada 5.30 petang," katanya kepada pemberita di lokasi kejadian malam ini.

Anbalagan berkata mayat Mohd Diham pula ditemukan satu kilometer dari lokasi mereka terjatuh sebelum dibawa ke Hospital Serdang untuk bedah siasat.

Beliau berkata operasi mencari dan menyelamat dua lagi mangsa yang masih hilang sedang dilakukan.

Siasatan awal polis mendapati Ahmad Suriadi sudah bermastautin di Malaysia hampir 10 tahun dan melakukan pelbagai pekerjaan termasuk tukang paip untuk menyara hidup.

"Mangsa memaklumkan sudah beberapa kali ke lokasi kejadian untuk memancing dan hasil tangkapan akan dijual bagi mendapatkan sumber pendapatan tambahan," katanya.

Anbalagan juga berkata lokasi kejadian bukan tempat memancing namun ada inividu yang datang ke situ bagi menangkap ikan untuk dijual.

"Lelaki terbabit cedera sedikit akibat terkena pokok namun tidak serius manakala anaknya yang terselamat tidak mengalami kecederaan," katanya.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619