AGENDA

Piala Sultan Selangor jadi lembaran baharu Stadium Merdeka

30 Mac 2024, 1:30 AM
Piala Sultan Selangor jadi lembaran baharu Stadium Merdeka
Piala Sultan Selangor jadi lembaran baharu Stadium Merdeka

SHAH ALAM, 30 MAC: Penganjuran Piala Sultan Selangor (TSSC) 2024 pada Ogos depan disifatkan bakal membuka lembaran baharu buat stadium penuh bersejarah negara, Stadium Merdeka.

Pengerusi dan Pengurus Pasukan TSSC Tan Sri Abd Karim Munisar berkata kejohanan itu menjadi penganjuran acara sulung pada mercu tanda tersebut selepas ia ditutup bagi menjalani proses naik taraf pada 2016.

Beliau berkata penganjuran Piala Sultan Selangor itu sendiri, umpama dihidupkan semula selepas acara tahunan tersebut tidak diadakan sejak 2020 berikutan pandemik Covid-19.

"Ini mencetuskan juga idea kepada semua lapisan masyarakat tentang imej Stadium Merdeka itu sendiri. Sejarah Stadium Merdeka yang lepas ni dicetus melalui Piala Sultan Selangor yang akan diadakan pada 17 Ogos.

“Ia adalah pemasaran yang baik untuk stadium itu sendiri. Kita juga menggalakkan penggunaan kenderaan awam sebab banyak pembinaan sedang berlaku di Stadium Merdeka dan tak akan tamat. Pihak Prasarana Malaysia Bhd juga bersetuju melanjutkan masa sehingga 12 tengah malam pada waktu itu,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Mesyuarat dan Majlis Berbuka Puasa Jawatankuasa TSSC, di sini semalam yang turut dihadiri Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah.

[caption id="attachment_626810" align="alignnone" width="850"] Pengerusi Jawatankuasa Piala Sultan Selangor (TSSC) Tan Sri Abd Karim Munisar menaiki Transit Aliran Massa (MRT) ketika melakukan tinjauan di stesen MRT, LRT dan Monorel yang berdekatan dengan Stadium Merdeka, Kuala Lumpur pada 2 Februari 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI[/caption]

Stadium Merdeka yang menjadi mercu tanda penuh bersejarah tanah air, sebelum ini ditutup bagi kerja pemuliharaan dan penambahbaikan.

Proses baik pulih itu dijangka siap pada April atau Mei dan perkembangannya turut dipantau Permodalan Nasional Berhad (PNB) selaku pihak pengurusan stadium.

Stadium Merdeka dianggap sebagai keajaiban kejuruteraan Persekutuan Tanah Melayu apabila mula dibina pada 1956 dan siap dalam tempoh setahun.

Ia menjadi tuan rumah bagi detik paling bersejarah apabila Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj mengisytiharkan kemerdekaan negara pada 31 Ogos 1957.

Di samping penganjuran Piala Sultan Selangor yang dianggap ikonik - kejohanan yang dianjurkan sejak 2001 itu menjadi gelanggang aksi persahabatan bagi dua musuh tradisi Liga Malaysia era semi Pro, Selangor dan Singapura.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619