Oleh Ahmad Husain Ahmad
DIA pencen menjadi gengster pada usia 55 tahun. Dia pencen awal.
Pada mulanya, dia mahu pencen pada usia 58 tahun. Tapi kekuatan dirinya makin berkurang. Keyakinan dirinya juga sudah pudar. Semua pengikutnya bubar. Apa jadahnya menjadi ketua gengster tanpa pengikut setia yang bangang seperti sekawan haiwan ternakan?
Menjadi gengster tua tanpa kekuatan dan keyakinan diri adalah perkara paling menyakitkan dalam dunia kegengsteran. Sakitnya berdenyut-denyut seperti bisul menyimpan nanah.
Sudah lima tahun dia meninggalkan lapangan kejahatan. Pengikutnya hanya tinggal seorang. Pengikut setianya yang bernama Miki tetap bersamanya hingga hari ini. Sebelah telinga Miki sudah tidak berfungsi. Dia pekak dan terpaksa memakai alat pendengaran.
Usia dia dan Miki yang pekak itu sudah bangka. Dia mencapai 60 tahun dan Miki si pekak itu pula 65 tahun. Mereka tidak kuat lagi untuk menentang mana-mana musuh. Miki juga menghidapi sakit buah pinggang. Tiga kali seminggu dia akan penghantar Miki ke pusat dialisis. Dia perlu menunggu selama empat jam sehingga Miki selesai membuat rawatan satu sesi. Selesai dialisis, Miki akan pening terhuyung-hayang. Dialah yang akan memapah Miki masuk ke dalam kereta dan membawanya pulang. Dahulu, Miki berkhidmat untuknya. Sekarang, dia berkhidmat untuk Miki. Begitulah persahabatan dan brotherhood yang berkekalan.
Dia dan Miki sebatang kara. Mereka sudah bersahabat begitu lama. Sama-sama berandal. Sama-sama handal. Sama-sama dajal. Kini mereka sama-sama tidak berdaya hilang tenaga. Gengster yang sudah tidak mampu lagi bertarung dan berlawan, tidak ubah seperti daun kering di tepi jalan. Dipijak orang menjadi debu berterbangan.
Sewaktu menunggu Miki menjalani dialisis, dia kembali membaca untuk membunuh waktu. Dahulu sememangnya dia suka membaca. Dia gengster yang suka membaca.
Satu demi satu novel dibacanya dalam kereta dengan kedua kaki diletakkan atas papan pemuka.
Entah kenapa semua novel yang pernah dibacanya menjadi tawar tanpa rasa. Pablo Neruda tidak lagi membuatkan dia rasa seperti jatuh cinta. Hemingway dan ikan marlin tidak lagi membuat sukmanya bergelora. Umberto Eco hilang magisnya. Marquez yang menulis tentang isteri curang dalam buku terakhirnya Until August membuatkan dia rasa seperti mahu membunuh orang.
Novel-novel penulis hebat dunia semuanya terasa biasa-biasa saja baginya. S.D. Salinger biasa-biasa. Herman Melville biasa-biasa. Murakami juga biasa-biasa dengan sureal entah apa. Marquez lagilah biasa-biasa. Sastera membuatkan dia bertambah nelangsa.
Dia terus membaca untuk mencari secebis keindahan dalam setiap kata-kata yang terapung dalam kepalanya. Tidak ditemuinya apa-apa.
Kini ada dua hal yang membuatkan dia marah - sastera dan dirinya. Memang sastera tentang manusia. Tapi kenapa semua manusia dalam dunia fiksyen tidak membuatkan dia berasa apa-apa?
“Sial. Kenapa semua buku yang aku baca tak beri kesan macam dulu?” Gerutunya sendiri.
Kenapa semua novel membuatkan dia seperti sudah mati rasa? Apakah kerana dia sudah tua? Apa kaitan bahan bacaan dengan usia tua? Apakah sastera makin lama makin cemus dibaca? Apakah sastera sebenarnya hanyalah kata-kata yang akhirnya menjadi abjad kosong tanpa makna? Apakah otak tuanya semakin tumpul dan tidak lagi kuat menyerap hingga mengakibatkan dia hilang nikmat membaca?
Makin banyak dia bertanya, makin dia tidak tahu jawapannya.
Dia masih ingin membaca. Empat jam menunggu Miki adalah waktu berharga untuk dia membaca, meski apa yang dibaca tidak lagi membuat dia bahagia. Tidak lagi menjadikan dia seorang pemikir.
Dia beralih membaca puisi. Tiada satu pun diksi yang menangkap rasa. Tidak seperti penyajak-penyajak lama yang menggegar jiwa dengan bait-bait sederhana tapi mempesona. Puisi-puisi yang dibacanya, selepas beberapa detik terus dilupa.
Kemarahan melompat dari akal fikirnya. Dia ditampar kecewa. Entah mahu dihalakan kemarahannya pada siapa.
Masih juga dia ingin membaca. Esei menjadi pilihannya pula. Makin banyak dibaca, makin serabut fikirannya. Makin berkerut kening tuanya. Tidak ada satupun esei ilmiah yang difahaminya. Tulisan-tulisan itu terlalu tinggi untuk orang sepertinya. Lemas dia jadinya. Esei-esei santai membuatkan dia sedikit lega untuk tetap membaca.
Di hari lain, dia bawa Miki ke nurseri untuk membeli pokok. Dibelinya sepasu pokok kecil. Dia mahu membaca di sebelah pokok kecil itu di ruang tamu. Mungkin membaca di sebelah pokok akan membuatkan dia menikmati apa yang dibaca.
“Kenapa kau beli pokok?” Miki bertanya.
Dia diam. Malas mahu menjawab.
Dalam filem yang disukainya, Leon: The Professional, Jean Reno memegang watak Leon, iaitu seorang pembunuh upahan amat menyayangi sepasu pokok kecil Aglaonema. Dia juga mahu menyayangi pokok kecil yang dibelinya seperti Leon.
Namun membaca novel di sebelah pokok Aglaonema juga tidak memberi kesan. Tetap juga dia benci dengan apa yang dibaca, tak kira ditulis oleh penulis terhebat dunia.
Dia marah dan bertambah kecewa.
“Aku nak merompak!” Dia memberitahu Miki sewaktu dalam kereta.
“Tak payah jerit, aku dengar!” Marah Miki. Telinga kanannya masih boleh mendengar.
“Aku nak merompak,” ulangnya dengan volume diturunkan sedikit.
“Kenapa tiba-tiba kau nak merompak pulak? Kau kata nak jadi orang baik. Kau kata nak pergi masjid.” Miki memandangnya tidak faham.
“Aku nak merompak sebab aku marah!” Dia membelok ke sebuah stesen minyak. Pada usianya 60 tahun, dia mahu merompak stesen minyak kerana hilang minat pada sastera.
“Champ!” jerit Miki bila dia meluru keluar dari kereta.
Sejak dahulu, Miki memang memanggil ketuanya itu Champ. Memang ketuanya dahulu champion dalam segala hal.
Miki tak boleh biarkan ketuanya merompak. Dengan terketar-ketar, dia keluar dari kereta untuk menghalang ketuanya bertindak di luar akal. Ketika menuju ke pintu kaca stesen minyak, Miki nampak ketuanya keluar terkengkang-kengkang.
“Kenapa Champ?” Miki bertanya dengan muka hairan.
“Masa masuk tadi aku terkentut, tercirit sekali,” jawab Champ dengan muka cemberut.
“Never trust a fart…” kata Champ sambil terus terkengkang-kengkang menuju ke tandas stesen minyak.