AGENDA

Polis tahan lelaki warga Israel bersama enam pucuk pistol

29 Mac 2024, 12:45 PM
Polis tahan lelaki warga Israel bersama enam pucuk pistol

KUALA LUMPUR, 29 MAC: Polis menahan seorang lelaki warga Israel bersama enam pucuk pistol di sebuah hotel di Jalan Ampang di sini, Rabu lepas.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razaruddin Husain berkata lelaki berusia 36 tahun itu dipercayai memasuki Malaysia pada 12 Mac lepas menggunakan pasport Perancis dari Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Beliau berkata siasatan awal mendapati suspek, yang turut memiliki pasport Israel, dipercayai datang ke Malaysia untuk membunuh rakan senegaranya susulan masalah keluarga.

“Semasa tangkapan, pihak Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman menemukan enam pucuk pistol dengan tiga daripadanya berisi peluru penuh selain terdapat 200 peluru lain.

“Memandangkan isu yang berlaku di Palestin dan Israel, kita juga waspada terutama dalam aspek keselamatan serta meningkatkan kawalan terhadap Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya kepada pemberita pada majlis berbuka puasa anjuran Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman di sini hari ini.

Razaruddin juga berkata semua senjata yang dirampas daripada suspek dipercayai diperoleh di Malaysia dan tidak menolak kemungkinan lelaki itu mempunyai rangkaian di dalam negara.

Antaranya ialah Glock 19 Mariner, Glock 19 Gen4, Smith & Wesson, SIG Sauer serta Stoeger dan semua senjata dibeli menggunakan mata wang kripto.

Ditanya sama ada suspek terlibat dalam aktiviti pengintipan, beliau berkata polis sedang menyiasat perkara itu.

“Mungkin suspek ada agenda lain datang ke negara ini dan telah menetapkan sekurang-kurangnya di dua hotel berlainan sejak memasuki UAE,” katanya.

Razaruddin berkata suspek kini ditahan reman selama empat hari hingga 31 Mac dan kes disiasat mengikut Seksyen 12 Akta Passport serta Seksyen 7 Akta Senjata Api.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619