AGENDA

Peguam bergelar Datuk didakwa tipu urusan jual beli tanah

27 Mac 2024, 9:51 AM
Peguam bergelar Datuk didakwa tipu urusan jual beli tanah

KUALA LUMPUR, 27 MAC: Polis mengesahkan menerima laporan daripada seorang lelaki yang mendakwa ditipu seorang peguam bergelar Datuk dalam urusan penjualan tanahnya bernilai RM1.4 juta di Sepang, Selangor.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata pihaknya menerima laporan daripada individu berusia 54 tahun itu pada 16 Mac lepas.

Beliau berkata mangsa telah berjumpa dengan suspek dan bersetuju untuk melantik firma guaman itu bagi menguruskan penjualan tanah pusaka milik mangsa.

“Tanah tersebut telah berjaya dijual pada harga RM1.4 juta dan mangsa telah menerima bayaran sebanyak RM381,110. Berdasarkan perjanjian, suspek bertanggungjawab untuk menguruskan wang jualan tersebut untuk tujuan pembayaran kepada pihak Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan menyerahkan bakinya kepada mangsa.

"Namun sehingga kini, suspek didapati gagal berbuat demikian dan kes terbabit sedang disiasat mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan,” katanya pada sidang media mingguan JSJK di sini, hari ini.

Sementara itu, Ramli berkata JSJK telah membuka lima kertas siasatan berkaitan penipuan Skim Pelaburan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) Sabah melibatkan kerugian lebih RM745,000 sejak Januari lepas.

"Melalui siasatan yang dijalankan, skim ini mula beroperasi sejak 2019 dan menjanjikan pulangan lumayan kepada pelabur kononnya mengikut konsep hibah (hadiah).

“Pulangan yang ditawarkan sehingga RM1 juta bagi setiap RM1,000 yang dilaburkan dan tawaran pelaburan ini dibuat secara bersemuka iaitu melalui kenalan serta saudara-mara,” katanya.

Beliau berkata mangsa kemudian akan mengikuti seminar dan kursus yang diadakan dan setelah yakin dengan skim pelaburan itu, mangsa akan mula memindahkan wang ke akaun yang diberikan.

Bagaimanapun katanya setelah pindahan wang dibuat, mangsa tidak menerima sebarang keuntungan yang dijanjikan dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

“Orang ramai dinasihatkan untuk sentiasa berwaspada dan melaksanakan semakan yang lebih terperinci sebelum menyertai mana-mana skim pelaburan terutama yang menjanjikan keuntungan terlalu lumayan,” katanya.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619