AGENDA

BNM rekod RM11.5 bilion transaksi pembayaran tanpa tunai pada 2023

27 Mac 2024, 9:15 AM
BNM rekod RM11.5 bilion transaksi pembayaran tanpa tunai pada 2023

KUALA LUMPUR, 27 MAC: Bank Negara Malaysia (BNM) merekodkan jumlah transaksi urus niaga pembayaran tanpa tunai sebanyak RM11.5 bilion pada tahun lepas, antara lain disumbang faktor ketersediaan liputan 4G dan 5G serta perkhidmatan Internet di seluruh negara.

Timbalan Menteri Digital Datuk Wilson Ugak Umbong berkata jumlah itu menunjukkan peningkatan berbanding RM9.5 bilion pada 2022 dan RM7.2 bilion pada 2021.

“Kementerian juga akan terus mengadakan kolaborasi dengan pelbagai pihak dalam usaha menggalakkan usahawan menggunakan kaedah pembayaran tanpa tunai seiring dengan perkembangan teknologi.

“Dalam hal ini, BNM merupakan agensi peneraju utama dalam usaha mempromosi penggunaan e-pembayaran dalam kalangan pengguna dan peniaga bagi merancakkan transaksi digital yang mudah dan selamat,” katanya ketika menggulung perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Negara hari ini.

Menerusi projek JENDELA yang dilaksanakan Kementerian Komunikasi sebelum ini, beliau berkata liputan rangkaian 4G sedang diluaskan ke seluruh negara agar 100 peratus liputan di kawasan berpenduduk (CoPA) dapat dicapai menjelang 2025.

Beliau berkata Digital Nasional Berhad (DNB) juga akan menyiapkan 7,509 tapak 5G di seluruh negara bagi meningkatkan lagi capaian 5G.

Ketersediaan 100 peratus kawasan berpenduduk untuk rangkaian 4G dan penyiapan keseluruhan 7,509 tapak 5G, beliau berharap penggunaan pembayaran secara digital khususnya dalam kalangan usahawan kecil akan dapat diperluas di seluruh negara.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619