AGENDA

Pelajar kolej vokasional maut di asrama, KPM bertegas tidak kompromi kes buli

23 Mac 2024, 4:05 AM
Pelajar kolej vokasional maut di asrama, KPM bertegas tidak kompromi kes buli

PUTRAJAYA, 23 MAC: Kementerian Pendidikan (KPM) bersedia memberi kerjasama penuh berhubung siasatan kejadian seorang pelajar kolej vokasional di Sabah yang ditemukan meninggal dunia dengan kesan kecederaan serta lebam di beberapa bahagian badan, semalam.

Dalam kenyataan hari ini, KPM memaklumkan pihaknya tidak berkompromi dengan salah laku buli di semua institusi pendidikan bawah kelolaannya.

"KPM menzahirkan rasa dukacita dan ucapan takziah kepada keluarga mangsa, pelajar Kolej Vokasional di Sabah yang telah meninggal dunia pada Jumaat.

“Kematian mangsa masih dalam siasatan pihak berkuasa dan KPM bersedia memberi kerjasama penuh,” menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, KPM juga telah mengambil tindakan segera dengan memberi bantuan kebajikan kepada keluarga mangsa.

“Sokongan psikososial turut ditawarkan kepada keluarga, pelajar lain, guru dan seluruh warga kolej,” menurut kenyataan itu.

Semalam, pelajar berusia 17 tahun ditemukan meninggal dunia dalam keadaan terbaring di atas lantai dengan kesan kecederaan serta lebam di beberapa bahagian badan di bilik asrama sebuah kolej vokasional di Sabah.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu ACP Dr Rohan Shah Ahmad dilapor berkata pihaknya percaya punca kejadian akibat perselisihan faham antara pelajar terbabit dengan pelajar lain yang menghuni asrama berkenaan.

Beliau berkata susulan itu, 13 pelajar lelaki berusia antara 16 hingga 19 tahun ditahan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

-- BERNAMA

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619