AGENDA

Pelajar kolej vokasional meninggal dunia di asrama, 13 ditahan bantu siasatan

22 Mac 2024, 12:42 PM
Pelajar kolej vokasional meninggal dunia di asrama, 13 ditahan bantu siasatan

LAHAD DATU, 22 MAC: Pelajar lelaki berusia 17 tahun ditemukan meninggal dunia dalam keadaan terbaring di lantai dengan kesan kecederaan serta lebam di beberapa bahagian badan di bilik asrama sebuah kolej vokasional, di sini pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu ACP Dr Rohan Shah Ahmad berkata pihaknya percaya punca kejadian akibat perselisihan faham antara pelajar terbabit dengan pelajar lain yang menghuni asrama berkenaan.

Beliau berkata susulan itu, 13 pelajar lelaki berusia antara 16 hingga 19 tahun ditahan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Polis turut merampas satu alat pengecas telefon pintar dipercayai berkait dengan siasatan kes,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Rohan Shah pihaknya bertindak atas laporan yang dibuat oleh pengarah kolej berkenaan berhubung penemuan pelajar lelaki itu dalam keadaan tidak sedarkan diri pada 6.50 pagi, dan telah disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang memberikan rawatan kecemasan.

Beliau berkata mayat dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Lahad Datu untuk bedah siasat.

“Polis meminta orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kes ini dan pihak polis juga sedang menjalankan siasatan secara terperinci secara telus,” katanya.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619