AGENDA

Anwar: Wartawan berperanan penting beri ulasan, angkat martabat negara

20 Mac 2024, 2:30 PM
Anwar: Wartawan berperanan penting beri ulasan, angkat martabat negara

PUTRAJAYA, 20 MAC: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pengamal media memainkan peranan penting dalam memberi pandangan, ulasan serta pencerahan dalam negara demokrasi.

Sehubungan itu, beliau berharap semua pengamal media dapat bersama-sama memainkan peranan untuk mengangkat martabat umat dan negara selain melonjakkan lagi pertumbuhan negara dengan lebih meyakinkan.

“(Perkara) ini memerlukan apa? Ilmu, kecekalan, disiplin, kecintaan terhadapnya (usaha angkat martabat negara).

“Ilmu itu sendiri keprihatinan santuni masyarakat, saya harap dengan semangat Ramadan sebagai madrasah Ramadan dapat kita tingkatkan iman, ilmu dan disiplin,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Berbuka Puasa MADANI bersama pengamal media di Kompleks Seri Perdana di sini, hari ini.

Anwar berkata beliau terkesan kerana isu besar negara berkaitan soal mengejar pertumbuhan yang lebih rancak yang dimainkan media tidak menarik minat tokoh politik.

“Saya luahkan, saya agak terkesan kerana isu besar negara, soal mengejar pertumbuhan lebih rancak, mendepani masalah seperti mana cabaran digital, IT (teknologi maklumat) dan soal peralihan tenaga.

“Soal kemahiran, kecekalan dan keterampilan anak muda dan bidang tertumpu itu semua tidak menarik minat sebahagian tokoh politik, dia masih lagi terikat, terperangkap dalam tempurung pemikiran yang jumud, lapuk dan lama,” katanya.

Terdahulu, seramai 200 pengamal media cetak, elektronik dan portal berita daripada lebih 70 agensi media tempatan termasuk Sabah dan Sarawak, kelab media tempatan dan antarabangsa serta veteran media diraikan dalam majlis berkenaan.

Perdana Menteri turut menyampaikan sumbangan kepada 20 petugas media dan bekas petugas yang sedang mengalami keuzuran kesihatan serta kurang berkemampuan.

-- BERNAMA

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619