AGENDA

Isu lantikan ketua kampung, ahli majlis diselesai secara muafakat sebelum Aidilfitri

20 Mac 2024, 9:41 AM
Isu lantikan ketua kampung, ahli majlis diselesai secara muafakat sebelum Aidilfitri

SHAH ALAM, 20 MAC: Isu pembahagian jawatan ketua kampung dan ahli majlis antara Pakatan Harapan (HARAPAN) dan Barisan Nasional (BN) di Selangor diselesai secara muafakat sebelum Aidilfitri

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pertemuan akan diatur dengan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk menyelesaikan kemelut dalam tempoh terdekat.

“Untuk jawatan ahli majlis dalam masa seminggu atau dua minggu ini akan selesai. Jawatan ketua kampung sebelum Aidilfitri saya akan aturkan pertemuan dengan timbalan perdana menteri.

"Malam ini kalau ada kesempatan saya akan bincang dengan Pengerusi Umno negeri Datuk Megat Zulkarnain Omardin untuk menyelesaikan hal pelantikan ini,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman antara Yayasan Hijrah Selangor dan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit di bangunan pentadbiran negeri di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Amirudin berharap setiap perbincangan dapat dilaksana secara terbuka bagi membantu urus tadbir lebih cekap.

“Untuk jawatan ahli majlis kita akan pilih mereka yang mempunyai kelayakan ikhtisas atau profesional yang tidak mempunyai jawatan utama dalam parlimen atau parti,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Amirudin berkata pihaknya akan meneliti cadangan supaya murid sekolah di bawah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dibenar memakai pakaian sukan susulan cuaca panas.

"Saya akan semak apa keperluan dan ada atau tidak rungutan ibu bapa, guru dan murid. Kalau ada keperluan kita akan umum kebenaran khas pemakaian pakaian sukan dalam masa terdekat,” katanya.

Semalam Kementerian Pendidikan Malaysia memberi kebenaran khas kepada murid, guru dan anggota pelaksana memakai pakaian sukan sopan ketika cuaca panas.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619