AGENDA

Kemas kini Padu elak tercicir bantuan, subsidi kerajaan

20 Mac 2024, 5:15 AM
Kemas kini Padu elak tercicir bantuan, subsidi kerajaan
Kemas kini Padu elak tercicir bantuan, subsidi kerajaan

KUALA LUMPUR, 20 MAC: Ada kemungkinan individu yang tidak mengemaskini maklumat dalam sistem Pangkalan Data Utama (Padu) akan tertinggal daripada menerima bantuan dan subsidi kerajaan, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Ekonomi Datuk Hanifah Hajar Taib berkata kerajaan bagaimanapun boleh menggunakan alternatif seperti pengintegrasian data pentadbiran daripada pelbagai agensi sektor awam bagi menyalurkan bantuan kepada individu terlibat.

Beliau berkata ini termasuk data pendaftaran daripada kerajaan negeri dan tempatan serta agensi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) yang terdapat dalam Padu bagi membentuk data komprehensif mengikut individu dan isi rumah.

[caption id="attachment_633954" align="aligncenter" width="810"] Timbalan Menteri Ekonomi Datuk Hanifah Hajar Taib. Foto BERNAMA[/caption]

“Hingga 12 Mac lepas Padu telah mengintegrasikan 314 set data pelbagai agensi yang menjadi asas untuk membentuk profil individu yang komprehensif. Ini termasuk maklumat 8.6 juta pemohon Sumbangan Tunai Rahmah (STR) untuk golongan B40 warganegara Malaysia.

“Oleh yang demikian, kerajaan memohon sokongan dan kerjasama semua pihak bagi meningkatkan usaha mendaftar dalam sistem Padu,” katanya dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Mohamad Shafizan Kepli (GPS-Batang Lupar) yang ingin tahu apakah terdapat alternatif buat individu yang tidak dapat mendaftar dalam Padu atas pelbagai sebab, dan apakah terdapat jaminan mereka tidak akan ketinggalan daripada mendapatkan kemudahan serta bantuan yang disediakan.

Mengulas lanjut Hanafiah berkata pendaftaran Padu tidak diwajibkan tetapi digalakkan kepada warganegara berumur 18 tahun ke atas dan setakat semalam hampir 6.03 juta atau 27.4 peratus warganegara dan penduduk tetap di Malaysia telah mendaftar sistem tersebut.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619