AGENDA

UAE umum ketibaan kapal pertama bawa 200 tan bekalan bantuan ke Gaza

16 Mac 2024, 10:30 AM
UAE umum ketibaan kapal pertama bawa 200 tan bekalan bantuan ke Gaza

ABU DHABI, 16 MAC: Emiriah Arab Bersatu (UAE) mengumumkan ketibaan kapal pertama yang membawa 200 tan bekalan makanan dan bantuan ke Semenanjung Gaza, lapor Agensi Berita Emiriah (WAM).

Bantuan itu dihantar melalui koridor maritim yang dilancarkan dari Pelabuhan Larnaca di Cyprus ke Gaza dengan kerjasama UAE, World Central Kitchen (WCK) dan Cyprus.

Dalam satu kenyataan pada Jumaat, Kementerian Luar UAE (MoFA) menekankan usahanya untuk menyelaras penghantaran bantuan kemanusiaan ke kawasan utara Semenanjung Gaza melalui koridor maritim Amalthea.

Kementerian itu memuji usaha penting kepimpinan Cyprus, World Central Kitchen dan rakan antarabangsa dalam memperkukuh tindak balas kemanusiaan kepada orang awam di utara Gaza.

Selain itu, Kementerian menegaskan bahawa malapetaka kemanusiaan yang semakin teruk di Semenanjung Gaza memerlukan pendekatan antarabangsa secara kolektif untuk segera mengurangkan ancaman kepada orang awam yang tidak bersalah dengan memastikan penyampaian bantuan segera, selamat, tanpa halangan dan mampan.

MoFA juga mengesahkan bahawa koridor maritim adalah sebahagian daripada usaha berterusan dan komited untuk meningkatkan aliran bantuan kemanusiaan dan komoditi komersial melalui semua laluan yang mungkin.

Sebagai sebahagian daripada komitmen yang tidak berbelah bahagi kepada rakyat Palestin dan usaha kemanusiaan, UAE telah menghantar 21,000 tan bekalan segera, termasuk makanan, air dan barangan perubatan.

Bantuan negara itu dihantar melalui 213 penerbangan, lapan bantuan menggunakan payung terjun, 946 trak dan dua kapal.

UAE juga telah merasmikan beberapa projek bantuan mampan dan menyediakan rawatan perubatan kepada orang awam dari Gaza dengan menubuhkan sebuah hospital medan di selatan Semenanjung Gaza, sebagai tambahan kepada hospital terapung yang berlabuh di Pelabuhan Al-Arish Mesir.

- BERNAMA-WAM

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619