AGENDA

All England: Tumbangkan beregu nombor satu dunia, Pearly-Thinaah ke suku akhir

15 Mac 2024, 2:30 AM
All England: Tumbangkan beregu nombor satu dunia, Pearly-Thinaah ke suku akhir

KUALA LUMPUR, 15 MAC: Beregu wanita utama negara Pearly Tan-M Thinaah mencipta sensasi apabila mengejutkan pasangan nombor satu dunia dari China Chen Qing Chen-Jia Yi Fan di pusingan kedua Kejohanan All England untuk menempah slot ke suku akhir, tengah malam tadi.

Pada pertembungan di Utilita Arena, Brimingham, Pearly-Thinaah yang menduduki ranking dunia ke-15 bijak menggunakan kesempatan di atas kecederaan yang dialami Jia untuk mencatat kemenangan 22-20, 21-16 dalam aksi yang berlanjutan sehingga 49 minit.

Ia merupakan kemenangan pertama gandingan negara ke atas pasangan juara dunia empat kali itu selepas tewas dalam lima pertemuan terakhir.

Lebih manis, kemenangan itu umpama hadiah hari lahir buat Pearly yang menyambut ulang tahun kelahiran ke-24 semalam.

Bagaimanapun Pearly jelas tidak mahu terbawa-bawa dengan kemenangan itu dan berpandangan ia mungkin disebabkan kecederaan yang dialami Jia.

"Memang kami menang, tetapi jelas kemenangan ini dibantu oleh kenyataan bahawa Jia Yi Fan mengalami kecederaan," kata Pearly kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF) selepas perlawanan.

Sementara itu Thinaah berkata: "Kami hanya mengingatkan diri untuk fokus dan tidak terlalu fikirkan mengenai kecederaan lawan. Ini semua tentang melaksanakan strategi kami dengan baik dan mengurangkan kesilapan kami."

Jia mengalami kecederaan buku lali selepas tergelincir di atas gelanggang ketika menewaskan pasangan Taiwan Hsu Ya Ching-Lin Wan Ching pada pusingan pertama Rabu lepas.

“Selepas perlawanan itu, saya tetap ingin mencuba untuk meneruskan cabaran kerana saya boleh berehat satu malam sebelum bermain semula. Saya membincangkannya dengan pasangan saya dan kami bersetuju untuk mencuba.

“Kami fikir jika ini berlaku di Sukan Olimpik, kami perlu bersedia untuk situasi itu. Saya mahu meletakkan diri saya dalam keadaan walaupun saya tidak cergas sepenuhnya, saya masih tetap boleh bermain, dan lihat hasilnya. Sekarang kami akan balik dan berehat. Kami terima sebarang kekalahan, dan akan bangkit semula sebelum Sukan Olimpik,” kata Jia.

Pearly-Thinaah akan membuat perhitungan menentang gandingan nombor 11 dunia Rena Miyaura-Ayako Sakuramoto dari Jepun di pusingan suku akhir yang dijadual berlangsung, malam ini.

Sementara itu beregu lelaki utama negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik tidak berdepan masalah untuk menumpaskan pasangan Taiwan Chang Ko-Chi-Po Li-Wei 21-18, 24-22 pada pusingan kedua untuk membuat perhitungan menentang Muhammad Shohibul Fikri-Bagas Maulana dari Indonesia di suku akhir.

Bagaimanapun nasib tidak menyebelahi gandingan beregu campuran negara Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie apabila terkandas di pusingan kedua selepas tewas 12-21, 5-21 kepada pilihan keempat dari China Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping.

-- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619