AGENDA

Tiga penjenayah Geng Centro maut, berbalas tembakan dengan polis

12 Mac 2024, 5:36 AM
Tiga penjenayah Geng Centro maut, berbalas tembakan dengan polis

KUANTAN, 12 MAC: Tiga penjenayah warga asing dikenali ‘Geng Centro' yang disyaki terlibat dalam kes samun dan pecah masuk kedai emas melibatkan jumlah kerugian lebih RM4 juta ditembak mati dalam kejadian berbalas tembakan dengan polis di KM 17 Jalan Pekan - Kuantan Bypass, 11.30 malam tadi.

Dua lelaki warga Vietnam dan seorang warga Bangladesh masing-masing berusia 36, 44 dan 38 tahun itu maut dalam kereta Proton Waja.

Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman berkata sepasukan polis Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor dan Pahang mengesan kereta itu dalam keadaan mencurigakan di kawasan Lembaga Kemajuan Negeri Pahang, Pekan.

Beliau berkata suspek diminta berhenti bagi tujuan pemeriksaan, namun mereka yang dipercayai dalam perjalanan untuk melakukan jenayah di Pekan bertindak memecut kenderaan untuk melarikan diri.

“Apabila tiba di lokasi kejadian, suspek menghimpit serta melanggar belakang kenderaan polis sehingga kereta suspek terhenti, dan ketika polis hendak membuat pemeriksaan, secara tiba-tiba suspek melepaskan beberapa das tembakan ke arah polis.

“Bagi mempertahankan diri polis membalas tembakan sehingga suspek tumpas, dan susulan pemeriksaan di dalam kereta, polis menemukan sepucuk pistol jenis Glock 17 beserta tujuh peluru dan tiga kelongsong peluru,” katanya pada sidang media di IPK Pahang di sini, hari ini.

Pemeriksaan lanjut di dalam kenderaan dimiliki warga Bangladesh itu membawa penemuan beberapa barangan seperti mesin gerudi dan mesin grinder, parang serta tukul besi.

Yahaya berkata dua lelaki warga Vietnam itu mempunyai pasport dan memasuki negara ini sebagai pelawat, manakala siasatan lanjut latar belakang suspek warga Bangladesh masih dijalankan.

Beliau berkata modus operandi yang digunakan penjenayah itu adalah memecah masuk kedai emas melalui pintu hadapan atau belakang serta menebuk peti besi menggunakan mesin grinder sebelum melarikan barang berharga.

Dengan tertumpasnya geng berkenaan, Yahaya berkata polis berjaya menyelesaikan enam kes samun dan pecah masuk kedai emas sejak Jun 2023 iaitu masing-masing satu di Selangor, Negeri Sembilan dan Pahang manakala tiga kes di Perak.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619