AGENSI

Jamin masa depan, MBI taja kursus sijil kemahiran penghuni rumah pengasih

11 Mac 2024, 2:00 PM
Jamin masa depan, MBI taja kursus sijil kemahiran penghuni rumah pengasih
Jamin masa depan, MBI taja kursus sijil kemahiran penghuni rumah pengasih

KAJANG, 11 MAC: Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI memperuntuk RM70,000 menaja 35 penghuni Rumah Pengasih Warga Prihatin (RPWP) mengikuti pembelajaran Sijil Kemahiran Malaysia (SKM).

Ketua pegawai eksekutif MBI berkata dana di bawah program Pengiktirafan Pencapaian Terdahulu (PPT) 2024 disalurkan melalui Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Selangor (STDC).

Jelas  Saipolyazan M Yusop, tajaan julung kali itu melibatkan program seperti kulinari, pastri, elektrik, automotif, pengecatan kenderaan, penyaman udara dan jahitan.

"Saya dimaklumkan semua graduan yang diraikan hari ini memiliki kemahiran dalam bidang masing-masing cuma tiada sijil yang mengiktiraf kemahiran mereka. Program PPT membuka peluang mereka untuk memiliki SKM.

"MBI berharap program ini membantu mereka melangkah jauh sekali gus menjamin masa depan lebih baik," katanya ditemui pemberita selepas Majlis Konvokesyen PPT 2024 STDC-RPWP tajaan MBI di Dewan Utama, Kompleks RPWP di sini hari ini.

Rumah pengasih itu menempatkan pelbagai golongan seperti anak yatim, orang kurang upaya, warga emas, asnaf fakir dan individu yang mempunyai masalah akhlak.

[caption id="attachment_632581" align="aligncenter" width="679"] Ketua Pegawai Eksekutif Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Saipolyazan M Yusop bergambar bersama penerima Sijil Kemahiran Malaysia di Kompleks Rumah Pengasih Warga Prihatin (RPWP) di Kajang pada 11 Mac 2024. Foto MBI[/caption]

Saipolyazan berkata MBI sentiasa menyokong usaha melahirkan tenaga kerja mahir serta memperkasa bidang pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) seiring dengan dasar negeri.

"Justeru kerjasama dari semua pihak amat penting ke arah melahir pekerja berkemahiran bagi memenuhi keperluan pasaran atau mengisi peluang kerja dalam pelbagai bidang," katanya.

STDC adalah institusi pendidikan teknikal bawah Kerajaan Negeri yang menawarkan pelbagai latihan kemahiran berkualiti dan berdampak tinggi ke arah revolusi industri 4.0.

Pada 17 November tahun lepas, Dato' Menteri Besar berkata Kerajaan Negeri membelanjakan RM15.3 juta bagi memperkasa TVET membabitkan 3,957 pelajar sejak 2018.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata dana itu membantu pelajar menjalani modul latihan dan program bawah Inisiatif Kemahiran Teknikal (IKTISASS) di STDC.

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619