AGENDA

Empat warga asing ditahan tangkap ikan tanpa kebenaran di Pulau Ketam

11 Mac 2024, 1:00 PM
Empat warga asing ditahan tangkap ikan tanpa kebenaran di Pulau Ketam

SHAH ALAM, 11 MAC: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Selangor menahan sebuah bot nelayan bersama empat lelaki warga asing yang dikesan melakukan aktiviti menangkap ikan tanpa kebenaran di sekitar perairan Pulau Ketam semalam.

Pengarah Maritim Malaysia Selangor Kapten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata bot nelayan tempatan kelas C itu dikesan ketika melakukan aktiviti perikanan menggunakan pukat tunda di 17.5 batu nautika barat laut Pulau Ketam pada 7 malam menerusi ‪Op Ehsan dan Op Tiris 3.0.

“Hasil pemeriksaan mendapati bot itu dikendalikan empat kru termasuk tekong warga Myanmar yang berusia lingkungan 26 hingga 39 tahun dan tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.

“Kesemua warga asing dan bot terbabit dibawa ke jeti Pasukan Polis Marin Pulau Indah sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut,” menurutnya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen iaitu menggunakan warga asing di atas kapal menangkap ikan tanpa kebenaran bertulis Ketua Pengarah Jabatan Perikanan Malaysia dan Akta Imigresen 1959/63 kerana menggaji kru warga asing tanpa permit sah.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619