AGENDA

Dua polis antara empat mangsa hilang dalam insiden bot karam di Kapit

8 Mac 2024, 1:35 AM
Dua polis antara empat mangsa hilang dalam insiden bot karam di Kapit

KAPIT, 8 MAC: Dua anggota polis merupakan antara empat mangsa yang masih hilang dalam insiden bot karam di Sungai Batang Baleh, berdekatan jeti Sekolah Kebangsaan (SK) Lepong Baleh, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Kapit DSP Rohana Nanu berkata ketika kejadian, kedua-dua anggota polis itu dalam perjalanan dari Kuching ke Ng Tulie, Kapit dengan mengiringi bahan letupan seberat 35 kg dan peledak - 1050rds.

Beliau berkata dua anggota polis yang masih hilang itu ialah Sarjan Jonathan Lambet dari cawangan Kebajikan dan Konstabel Iskandar Ibrahim dari cawangan Persenjataan di IPD Kapit.

Rohana berkata dalam kejadian sekitar 5 petang tadi, dua anggota polis bersama tiga lagi penumpang menaiki bot dari jeti SK Lepong Baleh ke Ng Tulie untuk menghantar bahan letupan berkenaan.

“Semasa sampai di tempat kejadian, bot tersebut membelok ke kiri sedikit menuju ke hulu sungai dan telah menempuh air yang berpusar, menyebabkan bot dinaiki terbalik dan karam ke dalam sungai.

“Seorang mangsa sempat diselamatkan oleh orang awam, manakala empat lagi belum ditemukan,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Beliau berkata, setakat ini keempat-empat mangsa belum ditemukan dan pencarian disambung esok.

Sementara itu, Ketua Bomba dan Penyelamat Zon Sibu Andy Alie berkata mangsa yang berjaya diselamatkan orang awam dikenali sebagai Moses Ngui, 47, manakala dua orang awam yang hilang dikenal pasti sebagai Amerson John Nain dan Jack Balan.

Ketika dihubungi Bernama melalui aplikasi WhatsApp malam ini, beliau berkata panggilan mengenai kejadian itu diterima pada jam 5.25 petang dan pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kapit, telah tiba di lokasi yang terletak sejauh 13 km itu pada jam 5.45 petang.

“Menurut saksi yang melihatkan kejadian tersebut, ia berlaku sekitar jam 5.00 petang di mana seramai lima penumpang menaiki bot fiber (dilengkapi enjin sangkut) 30 kuasa kuda, semasa kejadian berlaku,” katanya.

Beliau berkata pasukan bomba telah membuat penilaian awal kawasan lokasi, serta mendapatkan maklumat daripada mangsa yang terselamat dan orang awam yang menyaksikan kejadian tersebut.

“Pasukan bomba membuat pencarian di permukaan air dalam radius satu kilometer dari lokasi mangsa terakhir dilihat. Oleh kerana arus kuat dan keadaan beransur gelap, operasi ditangguhkan pada jam 6.50 petang dan akan disambung pada esok hari,” tambahnya.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619