AGENDA

TNB, THT bawa bekalan selesa ke separuh akhir kedua Piala TNB

6 Mac 2024, 12:30 AM
TNB, THT bawa bekalan selesa ke separuh akhir kedua Piala TNB

KUALA LUMPUR, 6 MAC: Juara Liga Hoki Malaysia (MHL) 2024, Tenaga Nasional Berhad (TNB) melangkah ke separuh akhir kedua Piala TNB 2024 dengan selesa selepas membenam UiTM HA-KPT 3-1 pada perlawanan separuh akhir pertama semalam.

Pada perlawanan di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil itu, TNB terlebih dahulu memecah kebuntuan gol seawal suku pertama menerusi dua jaringan padang Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal masing-masing pada minit ke-10 dan ke-13.

Tersentak dengan jaringan itu, cubaan demi cubaan dilakukan UiTM untuk menyamakan kedudukan namun setiap asakan berjaya dipatahkan TNB.

UiTM bagaimanapun berjaya mengejar kedudukan selepas Zul Pidaus Mizun menyempurnakan pukulan strok pada minit ke-49.

Berbaki tujuh minit suku terakhir perlawanan ditamatkan TNB terus selesa di depan dengan satu lagi jaringan pada minit ke-53 menerusi peledak berbisa dari Korea Selatan, Jang Jong Hyun.

Sementara dalam satu lagi aksi separuh akhir pertama, pasukan Terengganu Hockey Team (THT) turut semakin hampir mengulangi kejayaan ke final seperti tahun lalu apabila menewaskan Maybank 3-0.

Tiga jaringan THT diperoleh melalui pukulan strok kapten pasukan Mohd Fitri Saari pada minit ke-19 dan jaringan padang masing-masing menerusi Muhammad Noor Firdaus Rosdi dan Mohamad Akhimullah Anuar Esook pada minit ke-47 dan ke-48.

Dalam pada itu, saingan separuh akhir pertama Piala Vivian May Soars menyaksikan pasukan Malaysian University (MU) hanya sebelah kaki untuk ke pentas akhir selepas menewaskan Negeri Sembilan 4-1 dalam perlawanan yang berlangsung di venue sama.

Liaoning Women Hockey Team (LWHT) pula mencatat kemenangan selesa 3-0 ke atas PDRM Blue Warriors.

Aksi separuh akhir kedua membabitkan kesemua pasukan akan berlangsung pada Khamis ini.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619