AGENDA

Industri padi perlu sedia hadapi cuaca lebih panas tahun depan

3 Mac 2024, 9:13 AM
Industri padi perlu sedia hadapi cuaca lebih panas tahun depan

PENDANG, 3 MAC: Industri tanaman padi negara perlu bersedia untuk menghadapi kemungkinan cuaca lebih panas tahun hadapan, kata Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu.

Beliau berkata kesan fenomena cuaca panas ketika ini menjadikan pengeluaran padi tidak memberangsangkan dan berkurangan.

“Kesan cuaca panas, El Nino ini macam-macam datang sekarang ini dan panas ini pula melampau.

“Soal itu pihak Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) barangkali boleh mengkaji dari sudut jadual tanaman dan sebagainya (untuk menghadapi keadaan itu),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Penuaian Padi Projek SMART Sawah Berskala Besar (Smart SBB) Ala Sekinchan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada) di Kampung Gulau di sini, hari ini.

Turut hadir Pengerusi Mada Datuk Dr Ismail Salleh, Pengerusi Mardi Dr Azman Ismail dan Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang Datuk Mahfuz Omar.

Menurut Mohamad hasil padi tahun ini dijangkakan pada kadar 62 peratus dan cuaca panas yang telah berlarutan sejak tiga tahun menyebabkan pengeluaran tidak memberangsangkan.

Beliau berkata pihaknya akan terus berusaha memastikan pengeluaran padi di setiap kawasan tanaman seluruh negara dapat mencapai tahap 10 tan per hektar seperti yang dicapai di Sekinchan, Selangor dan Lat 1,000 di Perlis.

Selain itu, pihaknya juga bercadang membuka lebih banyak kawasan tanaman padi baharu termasuk di Johor, Negeri Sembilan, Sabah dan Sarawak.

“Di Lat 1,000 kita dapat 10 tan lebih, di Gulau ini kita dapat tujuh tan lebih sahaja. Walaupun capai matlamat, tapi sasaran kita semua kawasan tanaman dapat keluar hasil lebih tujuh tan agar kita boleh eksport beras,” katanya.

Sementara itu, beliau memaklumkan kerajaan akan mengumumkan keputusan perbincangan mengenai harga beras putih tempatan pada 20 Mac ini, selepas mendengar pandangan petani dan pemegang taruh industri padi dan beras, Khamis lepas.

Katanya, dalam pertemuan dianjurkan Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) itu, kerajaan berusaha memastikan semua pihak termasuk pengguna, pengilang dan petani berpuas hati.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619