AGENDA

Lapan juta pengguna khidmat bekalan air dikecuali kenaikan caj SST

1 Mac 2024, 1:00 PM
Lapan juta pengguna khidmat bekalan air dikecuali kenaikan caj SST

KUALA LUMPUR, 1 MAC: Seramai lapan juta pengguna perkhidmatan bekalan air membabitkan 87 peratus domestik dan 13 peratus bukan domestik di Semenanjung serta Wilayah Persekutuan Labuan menikmati pengecualian kenaikan caj cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang berkuat kuasa hari ini.

Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (Petra) dalam kenyataan memaklumkan seramai 4.7 juta lagi pengguna perkhidmatan pembetungan di seluruh Semenanjung dan Wilayah Persekutuan Labuan juga tidak terkesan dengan kenaikan caj itu.

“Kerajaan akan terus komited dan prihatin bagi memastikan keperluan asas rakyat diutamakan.

“Kementerian juga ingin mengingatkan orang awam untuk menggunakan air secara berhemat terutama ketika negara sedang berhadapan dengan musim panas dan kering di kebanyakan negeri,” menurut kenyataan itu.

Bermula hari ini, kadar baharu SST naik kepada 8 peratus berbanding 6 peratus sebelum ini seperti diumumkan dalam Pembentangan Belanjawan 2024 Oktober tahun lepas.

Langkah itu adalah sebahagian daripada usaha kerajaan untuk meningkatkan daya tahan kewangan negara sambil mengurangkan defisit belanjawannya.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619