AGENDA

Tiga lelaki ditahan bantu siasatan kes gaduh perlawanan bola sepak

27 Feb 2024, 11:12 AM
Tiga lelaki ditahan bantu siasatan kes gaduh perlawanan bola sepak

BUTTERWORTH, 27 FEB: Polis menahan tiga lelaki bagi membantu siasatan berhubung pergaduhan membabitkan sekumpulan individu selepas perlawanan bola sepak di sini, yang video insiden berkenaan tular di media sosial sejak semalam.

Pemangku Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara Supt Siti Noor Salawati Saad berkata tiga lelaki berumur 30-an hingga 40-an itu ditahan selepas polis menerima laporan daripada seorang lelaki berhubung kejadian di Balai Polis Butterworth Ahad lalu.

Beliau berkata siasatan mendapati pergaduhan berpunca daripada perasaan tidak puas hati dengan keputusan pengadil serta beberapa provokasi antara penyokong, dan polis sedang giat mengesan beberapa lagi individu lain yang dipercayai terlibat dengan kejadian.

Katanya seorang daripada suspek didapati mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah, dan kes sedang disiasat di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan iaitu merusuh.

"Polis meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian agar menghubungi pegawai penyiasat Insp Nursyahirah Sarahani dengan menelefon 04-5762222 sambungan 2275 atau mana-mana balai polis berdekatan bagi membantu siasatan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Siti Noor Salawati berkata polis juga meminta orang ramai untuk tidak menyebarkan video kejadian itu dan mensensasikannya sehingga menimbulkan persepsi yang boleh mengganggu ketenteraman awam.

Kejadian itu dipercayai berlaku ketika kejohanan bola sepak peringkat liga kawasan Bagan dan pergaduhan berjaya dileraikan oleh orang ramai yang berada di situ.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619