ad
AGENDA

98.3 kilogram syabu dalam paket teh Cina bernilai RM3.24 juta dirampas

22 Feb 2024, 1:33 PM
98.3 kilogram syabu dalam paket teh Cina bernilai RM3.24 juta dirampas

KANGAR, 22 FEB: Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 3 Bidor, Perak merampas dadah disyaki syabu 98.3 kilogram (kg) dianggarkan bernilai RM3.24 juta dalam rondaan Op Taring Wawasan Kedah/Perlis di kawasan laluan keselamatan sempadan Malaysia-Thailand dekat Padang Besar, Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Padang Besar ACP Mohd Shokri Abdullah berkata pasukan itu yang terdiri daripada seorang pegawai dan lapan anggota menjumpai lima bungkusan plastik hitam berisi dadah terbabit kira-kira 3 pagi.

Beliau berkata pemeriksaan lanjut terhadap kesemua plastik hitam itu menemukan guni putih berisi 93 paket teh Cina berwarna kuning dengan di dalamnya mengandungi serbuk putih disyaki syabu seberat 98.3kg.

“PGA membuat pemerhatian selama tiga jam, namun tiada sebarang pergerakan individu menghampiri plastik hitam itu.

“PGA merampas semua plastik hitam itu dan dibawa ke Subtek Kompeni ‘B’ (PIP) Padang Besar untuk pemeriksaan, seterusnya ke Ibu Pejabat Polis Daerah Padang Besar untuk tindakan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Shokri berkata siasatan awal mempercayai syabu itu dibawa masuk ke Malaysia menggunakan laluan tikus iaitu melalui lubang pagar sempadan Malaysia-Thailand dekat Padang Besar yang telah dipotong.

Beliau berkata dadah terbabit dipercayai untuk pasaran negeri utara dan boleh digunakan kira-kira 400,000 penagih.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.