AGENDA

Lebih RM5 juta barangan bersubsidi diseleweng, cuba diseludup keluar berjaya dirampas

22 Feb 2024, 10:07 AM
Lebih RM5 juta barangan bersubsidi diseleweng, cuba diseludup keluar berjaya dirampas

KOTA KINABALU, 22 FEB: Lebih RM5 juta barangan bersubsidi yang diselewengkan dan cuba diseludup keluar dari negara ini berjaya dirampas dalam Ops Tiris 3.0 yang dijalankan dari 1 Januari hingga 15 Februari lalu, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Datuk Armizan Mohd Ali.

Beliau berkata jumlah itu membabitkan rampasan diesel iaitu RM4.76 juta, petrol RON95 (RM90,611), gas petroleum cecair (LPG) RM154,189, minyak masak (RM107,759) dan gula (RM35,737), manakala di Sabah, 221 pemeriksaan dijalankan yang merekodkan 29 kes dengan jumlah rampasan barang kawalan bernilai RM192,845.

"KPDN bersama semua agensi berkaitan memulakan Ops Tiris yang bertujuan membanteras penyelewengan minyak diesel bersubsidi yang menyebabkan kerugian kepada negara dan bekalan bahan api itu tidak sampai kepada mereka yang layak," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan bengkel penyelarasan tanggungjawab membanteras ketirisan barang kawalan bersama agensi penguat kuasa di sini hari ini.

Armizan berkata dalam Ops Tiris 1.0 dan 2.0 yang dilaksanakan dari 1 Mac hingga 31 Disember tahun lalu di seluruh negara, pihak berkuasa berjaya merampas kira-kira 6.4 juta liter diesel bernilai RM14.2 juta dan rampasan selain diesel berjumlah RM42.1 juta.

Mengenai bengkel sehari itu, beliau berkata ia diadakan untuk membincangkan dan menambah baik kerjasama dalam Ops Tiris yang dilaksanakan melibatkan 16 agensi penguat kuasa yang berkaitan bagi memperluaskan skop penguatkuasaan kepada barang kawalan lain selain diesel.

Antara lain objektif bengkel itu ialah memperkukuh kerjasama dengan agensi penguatkuasaan di kawasan sempadan negara, menambah baik prosedur operasi standard (SOP) kes penyerahan daripada agensi penguatkuasaan lain.

Selain itu, pelaksanaan pemantauan dan pemeriksaan di premis perniagaan melibatkan pemborong dan peruncit kawasan sempadan, pengauditan kepada pemborong diesel, pemegang permit barang kawalan, pengisian bahan api dan syarikat pengeksport.

"Melaksanakan inisiatif baharu biz-berkat yang bertujuan meningkatkan kesedaran peniaga berkaitan kod etika dan peraturan perundangan perniagaan," katanya.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619