AGENDA

Perubahan iklim jejas tanaman, negeri laksana projek jamin bekalan makanan

22 Feb 2024, 1:00 AM
Perubahan iklim jejas tanaman, negeri laksana projek jamin bekalan makanan
Perubahan iklim jejas tanaman, negeri laksana projek jamin bekalan makanan

PETALING JAYA, 22 FEB: Kerajaan Selangor berusaha menyediakan jaminan bekalan makanan bagi memastikan rakyat tidak terjejas dalam berdepan perubahan iklim.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata penyimpanan stok makanan negeri bermula tahun ini dengan peruntukan sebanyak RM50 hingga RM60 juta bagi bekalan sehingga tempoh enam bulan.

“Perubahan iklim bukan hanya berkaitan bencana tetapi kita ada masalah lain iaitu bekalan makanan. Perubahan iklim yang mendadak beri kesan kepada tanaman di seluruh dunia.

“Sebelum ini masalah kitaran makanan bukan hal yang dibimbangi. Tetapi sekarang kita kena sediakan stok lebihan kerana kesan kekurangan beras dan bekalan ayam sebelum ini,” katanya.

[caption id="attachment_629715" align="alignleft" width="500"] Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menandatangani poster ketika majlis pelancaran Buku: Malapetaka Iklim / Memahami Fenomena Pemanasan Dunia dan Buku Komik Ke Mana Hilangnya Katak Hijau di PJ Live Arts Theartre, Petaling Jaya pada 21 Februari 2024. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI[/caption]

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran buku Malapetaka Iklim dan komik Ke Mana Hilangnya Katak Hijau di PJ Live Arts di sini, malam tadi. Turut hadir EXCO Alam Sekitar Jamaliah Jamaluddin.

Amirudin menambah isu kekurangan bekalan makanan tidak boleh dipandang remeh berikutan ia turut memberi kesan terhadap tumbesaran kanak-kanak.

Jelas Ahli Parlimen Gombak itu Selangor berdepan isu kanak-kanak kekurangan nutrisi terutamanya di kawasan penempatan penduduk di perumahan kos rendah.

“Di kawasan perumahan kos rendah kita ada beberapa masalah tumbesaran kanak-kanak. Kekurangan gizi memberi kesan terhadap otak dan cara mereka berfikir. Inilah kesan malapetaka iklim,” katanya.

Buku Malapetaka Iklim dan komik Ke Mana Hilangnya Katak Hijau diterbitkan pertubuhan bukan kerajaan Forum Selangor dan Eco Lestari Strategy bagi membangkitkan kesedaran dalam menangani isu alam sekitar.

Buku tersebut menghimpunkan karya beberapa penulis antaranya aktivis Hishamuddin Rais; kolumnis akhbar dalam talian @Green, Adi Satria Ahmad; dan pengarah filem dokumentari Yap Sean Yi.

Buku yang dijual pada harga RM40 dan komik pada harga RM20 boleh dibeli secara dalam talian menerusi KawahBuku, Ilham Books dan di Eco Lestari Strategy.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619