AGENDA

Malaysia layak ke Piala Thomas secara automatik selepas mara separuh akhir BATC

16 Feb 2024, 2:32 PM
Malaysia layak ke Piala Thomas secara automatik selepas mara separuh akhir BATC

SHAH ALAM, 16 FEB: Skuad lelaki negara layak secara automatik ke saingan Piala Thomas 2024 di Chengdu, China, April ini selepas berjaya mara ke separuh akhir Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2024, di sini hari ini.

Malaysia, selaku juara bertahan, meneruskan kemaraan dengan menumpaskan Singapura 3-1 pada aksi suku akhir di Pusat Konvensyen Setia City di sini tetapi pencapaian itu dihantui msalah kecederaan kepada pemain perseorangan Ng Tze Yong.

Pemain berusia 23 tahun itu yang diturunkan pada perlawanan pertama suku akhir itu hanya mampu bertahan kira-kira tiga minit ketika berdepan Jason Teh dari Singapura sebelum membuat keputusan tidak meneruskan perlawanan ketika ketinggalan 1-3 di set pertama.

Tze Yong terpaksa menarik diri apabila kecederaan belakang yang dialami ketika Terbuka Malaysia bulan lalu kembali menghantui pemain itu.

Tanpa gentar, Malaysia menyamakan kedudukan 1-1 apabila pasangan beregu utama Aaron Chia-Soh Wooi Yik menewaskan Loh Kean Hean-Howin Wong Jia Hao 21-11, 22-24, 21-14.

Leong Jun Hao kemudian mengambil masa hanya 31 minit untuk memastikan mata kedua dengan kemenangan mudah 21-8, 21-12 ke atas Joel Koh sebelum gandingan Goh Sze Fei-Nur Izzudin Mohd Rumsani meraih mata kemenangan dengan mengalahkan Wesley Koh-Junsuke Kubo, 21-6, 20-22, 21-8.

Malaysia seterusnya akan bertemu Jepun pada aksi separuh akhir yang berlangsung jam 4 petang esok.

Jepun sebelum itu merekodkan kemenangan 3-2 ke atas pemenang Piala Thomas 2022, India.

Dalam satu lagi aksi separuh akhir menyaksikan China bertemu Korea Selatan.

Dalam saingan suku akhir, China mengalahkan Indonesia 3-2 manakala Korea Selatan menewaskan Taiwan dengan keputusan sama.

-- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619