AGENDA

Nahas pesawat: Pegawai JKM beri sokongan psikologi kepada keluarga mangsa

14 Feb 2024, 5:00 AM
Nahas pesawat: Pegawai JKM beri sokongan psikologi kepada keluarga mangsa

PUTRAJAYA, 14 FEB: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan atur gerak pegawai bagi menyantuni dan memberikan sokongan psikologi kepada keluarga mangsa nahas pesawat ringan model BK 160 Gabriel yang terhempas di Kampung Tok Muda di Kapar, Klang semalam.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri berkata pegawai JKM telah bertindak segera untuk memberikan perkhidmatan sebaik sahaja mengetahui mengenai insiden berkenaan.

“Kebiasaannya (santuni waris) itu kita lakukan. Saya amat berterima kasih dengan semua agensi di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat terutama JKM yang sentiasa menyantuni mangsa (dan waris) serta cepat bertindak.

“Sama-sama kita hargai perkhidmatan diberikan. Terima kasih kepada JKM,” katanya kepada pemberita selepas sesi taklimat media sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2024 di KPWKM di sini hari ini,

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan dilapor berkata proses bedah siasat mangsa nahas pesawat ringan model BK 160 Gabriel dijangka selesai hari ini.

Mengikut manifest (senarai penumpang dan anak kapal) yang didaftarkan, mangsa yang terbunuh ialah juruterbang Daniel Yee Hsiang Khoon, 30, dan pembantu juruterbang Roshaan Singh Raina, 42.

Kedua-dua mangsa dipercayai terbenam bersama bahagian kokpit pesawat di kawasan ladang kelapa sawit dalam kejadian yang dilaporkan berlaku pada 1.45 tengah hari semalam.

Pesawat dikendalikan Air Adventure Flying Club itu berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang pada 1.28 tengah hari untuk penerbangan rekreasi.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619