AGENDA

Pesawat dilihat terbang 'tidak betul', jatuh menjunam - saksi

13 Feb 2024, 1:07 PM
Pesawat dilihat terbang 'tidak betul', jatuh menjunam - saksi

KAPAR, 13 FEB: Seorang penduduk di Kampung Tok Muda di sini, di kawasan sekitar tempat kejadian pesawat ringan model BK 160 Gabriel terhempas tengah hari tadi berkata, beliau melihat pesawat itu terbang dalam keadaan ‘tidak betul’ di udara sebelum terhempas.

Jinaidi Nasiran, 55, berkata ketika itu beliau sedang menukar tayar kereta di kawasan rumahnya, yang bertentangan dengan lokasi kejadian.

"Pesawat itu menjunam laju, jatuh dalam pukul 1.30 petang… saya terus ke lokasi terhempas, saya lihat pesawat itu sudah berkecai dan sedikit tertanam di dalam tanah.

“Saya cuba juga tengok jika ada mangsa, tapi tidak kelihatan," katanya ketika ditemui di lokasi.

Sementara itu, seorang peniaga Siti Zubaidah Salin, 60, yang tinggal kira-kira 150 meter dari kawasan kejadian berkata semasa kejadian beliau terdengar dentuman kuat dan merasa gegaran, yang pada mulanya disangkakan gempa bumi.

“Mak cik sedang berehat dalam rumah, baru balik meniaga, tiba-tiba rasa macam gempa bumi. Mak cik keluar ke rumah tengok kalau jadi apa-apa (susulan) tapi tiada apa berlaku, tiba-tiba dengar orang bising.. pesawat terhempas,” katanya.

Sementara itu, seorang peniaga buah Sufian Hadi Abas, 45, berkata beliau mendengar satu letupan kuat dan nampak jelas serpihan-serpihan pesawat berterbangan bersepah semasa kejadian.

Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dalam kenyataan awal petang ini mengesahkan pesawat ringan model BK 160 Gabriel itu terhempas di Kapar, Selangor hari ini.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619