AGENDA

PM: Kajian sistem saraan khidmat awam dipercepat, jangka umum suku keempat 2024

9 Feb 2024, 8:21 AM
PM: Kajian sistem saraan khidmat awam dipercepat, jangka umum suku keempat 2024

MELAKA, 9 FEB: Hasil kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) dijangka diumumkan selewat-lewatnya suku keempat tahun ini, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata sudah tiba masanya proses tersebut dipercepatkan bagi memberi manfaat kepada penjawat awam seluruh negara.

"Ada keluhan tentang (tempoh) kajian SSPA ini kerana sudah 12 tahun dan kadar upah penjawat awam tidak dikaji dan ditingkatkan.

"Tahun lalu saya bagi jaminan dan tahun ini sudah sampai tahap yang mana saya percepatkan proses itu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pertemuan Perdana Menteri Bersama Penjawat Awam Negeri Melaka di Pusat Perdagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini hari ini.

Hadir sama Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Perdana Menteri berkata proses itu akan dipercepatkan dalam beberapa bulan ini dan dipersembahkan kepada Jemaah Menteri dalam tempoh tiga bulan.

"Selepas itu kita boleh umumkan. Jadi ia (keputusan) pada suku ketiga atau selewat-lewatnya (suku) keempat tahun ini," katanya.

Akhbar sebelum ini melaporkan laporan akhir kajian SSPA dijangka siap dalam tempoh dua bulan lagi.

Anwar dilaporkan sebagai berkata perkara itu diputuskan berdasarkan persetujuan Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Mohd Zuki Ali dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619