AGENSI

Rumah kampung di luar pentadbiran PBT tidak dikenakan cukai taksiran

7 Feb 2024, 9:31 AM
Rumah kampung di luar pentadbiran PBT tidak dikenakan cukai taksiran

SHAH ALAM, 7 FEB: Pemilik rumah kampung di luar pentadbiran pihak berkuasa tempatan (PBT) tidak dikenakan cukai taksiran.

Dato’ Menteri Besar berkata kediaman berkenaan sebahagian besarnya terletak di Sabak Bernam, Tanjong Karang dan Kuala Selangor.

“Sebahagiannya lagi di Kuala Langat, Hulu Langat, Hulu Selangor dan Gombak seperti Kampung Orang Asli di Ulu Batu tidak termasuk dalam lokaliti PBT.

“Itu bermakna semua kampung ini dan penduduknya tidak dikenakan cukai taksiran atau cukai pintu bagi rumah-rumah mereka.

“Ada berita dan propaganda kononnya semua rumah kampung dikenakan cukai, tidak betul,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Ditemui di bangunan pentadbiran negeri di sini hari ini, beliau berkata manfaat sama turut dinikmati pemilik rumah kos rendah seperti sebelum ini.

“Kita juga sedang memeta untuk mereka yang merasakan layak untuk dapat pengecualian. Kita dapati sebahagian daripada lokaliti dan pemilik hartanah di kampung mempunyai aset yang pelbagai seperti rumah sewa.

“Itu merupakan aktiviti pernigaan dan mereka sebenarnya mempunyai kemampuan untuk membayar cukai terhadap premis yang diberi (sewa). Tetapi kalau mereka rasakan mereka ini (layak dikecualikan) mereka boleh memohon," katanya.

Sebelum ini, EXCO kerajaan tempatan berkata pemilik kediaman kampung yang memerlukan dan berpendapatan sederhana akan terus menikmati pengecualian cukai taksiran tahun ini daripada Kerajaan Negeri.

Bagi memastikan program lancar, Dato’ Ng Suee Lim menjelaskan proses itu dimulakan dengan pengeluaran bil secara fizikal akhir bulan ini oleh pihak berkuasa tempatan.

Menurutnya pemilik yang menepati syarat kelayakan boleh memohon mulai 1 Mac hingga 31 Mei ini dan setiap keputusan permohonan boleh disemak mulai 1 September 2024.

Syarat kelayakan seperti berikut:

  •  warganegara Malaysia yang menetap di Selangor
  •  pemilik berdaftar kediaman kampung di Selangor
  •  keluasan rumah kampung 2,000 kaki persegi dan ke bawah
  •  pendapatan bulanan isi rumah RM5,000 dan ke bawah
  •  pemohon layak untuk satu akaun atau satu rumah sahaja

 

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619